TERKINI

MP Machang kritik pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024

Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (kiri) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 29 Julai 24 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengkritik secara terbuka apa yang berlaku ketika persembahan acara pembukaan sukan Olimpik Paris 2024, yang beliau sifatkan sebagai manifestasi kehidupan beragama yang semakin terhakis kesan daripada fahaman sekularisme yang meletakkan ego dan nafsu sebagai ‘Tuhan’.

Dalam satu entri di laman sosial X, Wan Fayshal mengulas mengenai acara pembukaan rasmi sukan Olimpik yang telah menerima banyak kecaman warga dunia kerana menampilkan beberapa persembahan yang menyinggung agama dan budaya masyarakat dunia.

“Apa yang berlaku di pentas pembukaan Olimpik Paris 2024 itu patut sedarkan kita bahawa kehidupan beragama kini semakin terancam di bawa arus Kemodenan yang tidak lagi meletakkan Tuhan di hadapan malah terus hilang di telan zaman.

Beliau berkata, masyarakat barat dan eropah telah melalui proses yang diistillahkan sebagai ‘Apotheosis’ yakni pemuliaan subjek setaraf Tuhan.

“Kesan daripada faham Sekularisme yang menebal Manusia Barat dan Eropah telah melalui proses “Apotheosis”: pentaqdisan manusia menjadi seperti Tuhan – tiada lebih berkuasa menentukan untung nasib bangsa berbanding dirinya sendiri. Ujarnya.

Dalam entri yang sama, Wan Fayshal berpendapat bahawa pertunjukkan tersebut tidak pelik memandangkan Perancis adalah pusat dan tempat di mana faham sekularisme diinstitusikan dalam pentadbiran negara pasca Revolusi Perancis 1789.

“Bukan itu saja, ibu kota Paris adalah tempat lahirnya faham dan falsafah berakarkan Relativisme (tiada kebenaran hakiki dan mutlak; semua pihak ada kebenaran tersendiri) yang menjadi satu budaya baru dalam kerangka besar Pasca Modernisme (Post-Modernism) melalui faham Post-Strukturalisme yang digagasi Michel Foucault; Dekonstruksisme oleh Jacques Derrida; dan juga faham Eksistentialisme yang Sartre, de Beauvoir perjuangkan maka lahirlah masyarakat moden Eropah yang menatijahkan “tayangan” (spectacle) yang kita lihat di layar TV pembukaan Olimpik Paris 2024 itu.

Wan Fayshal dalam kenyataannya juga memetik mengenai buku yang ditulis oleh Pope Benedict XVI yang berjudul “Without Roots” berkata, Pope melihat kebangkitan Islam dari segi jumlah pertambahan penganutnya sebagai ancaman kepada Kristian Katolik, beliau juga mengiktiraf bahawa Islam sebagai sebuah agama dan peradaban turut berkongsi cabaran yang sama seperti Agama Kristian dalam mendepani cabaran Zaman Moden ini.

“Maka seharusnya dialog antara agama dan peradaban Islam dan Kristian diteruskan dan dirapatkan jurang agar kedua-duanya mampu merawat wabak Sekularisasi, Relativisme yang semakin ganas meracuni akar bangsa dan agama bukan saja di Eropah dan Barat malah di seluruh dunia. Katanya.

Kontroversi acara pembukaan sukan Olimpik Paris telah mengundang banyak kritikan dari pelbagai pihak. Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini mengkritik adegan yang memaparkan ‘Drag Queen’, menafsirkannya sebagai penghinaan terhadap agama Kristian.

Pelbagai kumpulan Kristian, termasuk Gereja Katolik di Perancis, menyatakan kebimbangan mengenai gambaran agama dalam upacara tersebut. Terdapat kritikan meluas di media sosial, dengan beberapa penonton menyatakan ketidaksetujuan terhadap pelbagai aspek majlis, termasuk pilihan artistik dan mesej politik yang dirasakan.

Semalam, penganjur acara perasmian Sukan Olimpik Paris telah tampil memohon maaf atas adegan dalam majlis perasmian pada Jumaat. Permohonan maaf tersebut merujuk kepada acara yang menampilkan ‘Drag Queen” yang memparodikan lukisan Leonardo da Vinci ‘The Last Supper’.- malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp