TERKINI

Mukhriz Cadang Anwar Singkir UMNO Dari Kerajaan Perpaduan

Mukhriz Mahathir – foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Sept 2023 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya menggugurkan 28 anggota Parlimen Umno dalam kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan banyak masalah yang timbul dalam negara hari ini, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Presiden parti Pejuang itu berkata, Anwar boleh mengadakan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) melalui CSA bagi memastikan masa depan negara yang lebih baik, kerana Umno merupakan pencetus kepada semua masalah.

“Saya cadangan kerajaan perpaduan singkirkan Umno. Ia hanya libatkan 28 ahli Parlimen, gugurkan mereka, ada lagi 119 kerusi, termasuk Syed Saddiq.

“Tetapi letak kaveat PN tak boleh ambil 28 ahli Parlimen Umno itu, kalau tidak masalah tidak akan selesai. Masalah Umno akan menjangkiti PN,” kata Mukhriz dalam sidang medianya, hari ini.

Antara masalah yang dakwanya berpunca daripada Umno termasuklah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga krisis politik Langkah Sheraton yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Umno juga katanya dalang menyaksikan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin digulingkan selepas tumbangnya kerajaan PH, dan digantikan dengan Ismail Sabri Yaakob, sebagai perdana menteri.

“Kalau belum sedar punca masalahnya ialah Umno saya tak tahulah. Jadi saya mencadangkan penyelesaian kepada masalah hari ini.

“Saya kenalpasti punca masalah politik negara adalah Umno, daripada mula lagi, itu satu perkara yang susah untuk saya akui kerana saya dahulu pun daripada Umno,” kata Mukhriz lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp