TERKINI

Mukhriz sahkan siasatan SPRM, sasar Tun M

Mukhriz Mahathir (gambar kecil) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 31 Mac 2024 – Presiden parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir mengesahkan kenyataan abang beliau, Mokhzani Mahathir dalam wawancara yang disiarkan oleh Bloomberg bahawa siasatan ke atas mereka berdua adalah mensasarkan bapa mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memberitahu malayadaily, semalam bahawa beliau sendiri ada melihat notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditandatangani oleh Tan Sri Azam Baki.

“Saya melihat notis yang ditandatangani sendiri oleh Tan Sri Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada kedua-dua abang saya Mirzan dan Mokhzani yang mana di awal notis itu menyebut bahawa siasatan dikenakan ke atas Tun Mahathir Mohamad.

“Kemudian diperlukan atau pun diarah kedua-dua abang saya ni untuk membuat pengisytiharan harta untuk membantu dalam siasatan. Ujarnya.

Menurut Mukhriz, mereka berasa hairan mengapa ianya mengejutkan kerana tak sepatutnya begitu (siasatan ke atas abang-abangnya).

“Memang daripada awal kita rasakan agak pelik di mana siasatan ke atas seorang tu yang kononnya mungkin disyak menyalahgunakan kuasa ke apa ke, kita belum pasti sebab tak diberikan secara terperinci.

“Tetapi yang disiasat adalah anak kepada orang yang yang didakwa tu, jadi inilah yang kita rasa agak pelik sikitlah. Katanya.

Baru-baru ini, Mokhzani mendakwa bapa mereka adalah sasaran sebenar siasatan SPRM terhadap kewangan mereka.

Dalam temu bual dengan Bloomberg pada hujung minggu lalu, Mokhzani berkata negarawan itu adalah suspek utama.

“Ayah saya adalah suspek utama. Kata Mokhzani, memetik laporan Blooimberg.

Sebelum itu, media melaporkan bahawa SPRM mengkehendaki Mokhzani dan Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Siasatan adalah mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp