TERKINI

Cadangan AMANAH untungkan DAP – Isham Jalil

Isham Jalil – foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Dis 2023 – Cadangan AMANAH Selangor yang meluluskan usul mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula bagi kawasan Parlimen di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), disifatkan sebagai cadangan ‘ke laut’ oleh Isham Jalil.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, cadangan tersebut adalah mengikut telunjuk ketuanya yang mahu menambah kerusi di kawasan bandar.

“Berdasarkan cadangan ini, maka satu kerusi DAP boleh pecah jadi dua atau tiga. Dan DAP boleh dapat 70-80 kerusi di Semenanjung dan PH boleh menguasai Parlimen dengan kerusi-kerusi ini.

Menurut Isham, ini akan menyebabkan jumlah kerusi-kerusi bandar menguasai Parlimen.

“Jumlah kerusi di kawasan-kawasan bandar di Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja akan menjadi 60-70 kerusi Parlimen daripada 34 kerusi sekarang.

“Ini juga akan mengakibatkan lebih banyak atau majoriti sumber awam dan dana kerajaan disalurkan ke kawasan-kawasan bandar.

“Dengan ini pembangunan tidak akan menjadi seimbang di mana kawasan-kawasan separa bandar atau luar bandar akan lebih tertinggal atau dipinggirkan. Kata Isham.

Beliau menambah bahawa perkembangan ini tidak baik untuk pembangunan ekonomi negara dan ia juga akan menerukkan jurang ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara penduduk-penduduk bandar dan luar bandar.

“Sebab itu saya tidak setuju cadangan Amanah ini.

“Ia adalah cadangan yang menguntungkan mereka (PH dan DAP) tetapi merugikan orang lain.
Dan ramai penduduk-penduduk luar bandar ini adalah orang-orang Melayu.

Awal November lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia akan bermula pada tahun 2026.

Isu berkaitan persempadan semula ini dikaitkan dengan beberapa kenyataan daripada pemimpin politik seperti isu mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan dan isu perlembagaan berkaitan perdana menteri bukan Melayu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp