TERKINI

Pengerusi PN Melaka persoal hak Adun bukan Islam cadangkan AJK Masjid, Surau

Mohd Yadzil Yaakub – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 7 Okt 2023 – Ketua pembangkang Dewan Undangan negeri Melaka, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub mempertikaikan hak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Islam untuk mencadangkan senarai jawatankuasa masjid dan surau di negeri tersebut.

Dalam satu kenyataan, Mohd Yadzil berkata perkara itu merupakan satu campur tangan politik dalam urusan pentadbiran masjid dan surau.

“Sebagai agama yang cintakan penyatuan ummah, Islam menggalakkan kita berkawan dengan orang bukan Islam tapi bukan sehingga menggadaikan kepentingan umat Islam kepada bangsa atau agama lain.

“Namun, syarat yang ditetapkan untuk pembentukan jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan ADUN bukan beragama Islam mencadangkan senarai jawatankuasa bukan sahaja merupakan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran masjid dan surau, tetapi paling mendukacitakan ia merupakan cubaan membenarkan orang bukan Islam campur tangan dalam urusan agama Islam.

“Mengapa dalam urusan pentadbiran rumah Allah, mereka yang bukan Islam dilibatkan? Soal Yadzil yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka.

Yadzil juga berkata bahawa Masjid dan surau adalah tempat terbaik penyatuan ummah tanpa mengira fahaman politik untuk berkumpul dan beribadat.

“Di sinilah semua umat Islam tanpa mengira darjat, bangsa, taraf pendidikan, umur, mahupun fahaman politik berkumpul dengan satu tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT.

“Pernahkah kita dengar orang Islam dirujuk terlebih dahulu dalam penentuan jawatankuasa rumah ibadah agama lain?

“Kenapa bila berkaitan masjid dan surau kita izinkan agama lain mengatur apa yang ekslusif kepada umat Islam?, ujarnya.

Yadzil yang juga ADUN Bemban turut berkongsi surat didakwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bertarikh 25 Oktober dan mempersoal kewajaran pekeliling itu.

Surat itu memaklumkan ADUN bukan Islam boleh mencadangkan senarai jawatankuasa dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) beragama Islam. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp