PUTRAJAYA, 17 Mei 2023 – Urusan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa di tiga pejabat imigresen Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju, akan dijalankan secara dalam talian sepenuhnya bermula 1 Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata dengan pelaksanaan permohonan secara dalam talian sepenuhnya menerusi sistem MyOnline Passport itu, kategori pemohon yang berumur 13 hingga 59 tahun untuk urusan pembaharuan pasport tidak lagi diterima di kaunter atau secara jumpa terus di ketiga-tiga pejabat berkenaan.
“Ketiga-tiga pejabat cawangan ini dipilih kerana ia merupakan antara pejabat yang menjadi tumpuan di Lembah Klang dan antara pejabat yang mengeluarkan pasport yang tertinggi.
“Pejabat-pejabat ini juga terletak di kawasan yang mempunyai liputan Internet yang baik justeru tiada alasan permohonan secara dalam talian tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Ketiga-tiga pejabat itu bagaimanapun masih menerima permohonan di kaunter atau secara jumpa terus bagi permohonan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah; warga emas 60 tahun ke atas; bakal jemaah haji yang menerima tawaran Tabung Haji; pelajar berumur 21 tahun ke bawah yang menerima tawaran pengajian ke luar negara; Orang Kurang Upaya; dan ahli keluarga yang mengiringi pemohon kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen (JIM) Bagi Tahun 2022 di sini hari ini, Saifuddin berkata pejabat imigresen lain masih menerima perkhidmatan pemohonan pembaharuan pasport seperti sediakala. – Bernama