TERKINI

Munasabah atau tidak Tun M dicalonkan PRK Parlimen Kemaman?

Gambar hiasan – foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 23 Okt 2023 – Nama Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba-tiba dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang akan diadakan pada 2 Disember ini.

Nama mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu dikatakan telah dicadangkan oleh pimpinan parti Putra, yang beranggapan amat bertepatan jika dicalonkan sama ada oleh Pas mahupun Perikatan Nasional (PN).

Memetik sumber dikalangan pemerhati politik yang tidak mahu dinamakan, terdapat banyak alasan diberikan pimpinan Putra atas cadangan itu, antara hujahnya ialah pelantikan Tun Dr. Mahathir sebagai penasihat kepada empat kerajaan negeri atau ‘State-Government’ (SG4) oleh Pas dan PN.

Sungguhpun empunya badan tidak memberi apa-apa respon dengan cadangan itu, tetapi secara politiknya cadangan parti Putra itu berasas, menurut pemerhati politik.

Penglibatan sepenuh masa Tun Dr. Mahathir dalam SG4 dianggap bersesuaian dan bertepatan sekali sebagai pemimpin yang kaya pengalaman dalam memaju dan membangunkan Malaysia, harus diberi tempat dalam parti gabungan PN.

Pas sendiri mengakui peranan dan penglibatan Tun Dr. Mahathir selama ini dalam meyakinkan negara luar melabur ke Malaysia yang telah terbukti berjaya.

Malah, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengesahkan penasihat Gerakan Tanah Air (GTA) itu, telah melakukan banyak sesi libat urus membawa masuk pelaburan ke negeri terlibat.

Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, Tun Dr. Mahathir telah memainkan peranan aktif dalam bertemu pelabur terutama dari Jepun, Korea dan China.

Jadi, apakah maksud yang dikatakan ‘tidak munasabah’ oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung cadangan Putra agar parti itu memberi peluang kepada Tun Dr. Mahathir sebagai calon PN bertanding di PRK Parlimen Kemaman?

‘Tidak munasabah’ ini hanya boleh diguna pakai sekiranya Tun Dr. Mahathir tidak ada kaitan dengan Pas atau PN.

Tetapi, dalam hal ini, Tun Dr. Mahathir mempunyai tanggungjawab penuh dalam menaikkan taraf ekonomi SG4 Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Selama ini, umum tahu empat negeri ini antara yang mundur berbanding negeri lain dalam Malaysia dan usaha untuk meletakkan negeri ini setanding dengan Selangor, Pulau Pinang dan Johor terletak pada bahu Tun Dr. Mahathir.

Maka, amat ‘munasabah’ lah sekiranya veteran politik ini diberi tempat dengan cara beliau diberi peluang bertanding di PRK Kemaman dan berada dalam Parlimen bersama Pas serta PN.

Itu yang dikatakan ‘munasabah’ oleh segolongan pemerhati politik, bukan ‘tidak munasabah’ oleh Abdul Hadi.

Secara logik dan munasabahnya, jika kita memerlukan khidmat seseorang untuk membantu, semestinya orang itu diserapkan dalam parti atau organisasi kita supaya hubungan itu bertambah rapat dan mudah menjalankan tanggungjawab.

Apatah lagi, jawatan yang diberikan kepada Tun Dr. Mahathir adalah penasihat. Satu jawatan tertinggi dan paling atas dalam senarai organisasi.

Tentunya, sebagai penasihat, khidmat Tun Dr. Mahathir bukan sahaja diperlukan untuk ekonomi, malah boleh juga bagi tujuan kestabilan politik Pas dan PN sebagai pembangkang yang relevan.

Pas tahu, pimpinan dalam PN pun tahu jasa besar yang tidak boleh dinafikan Tun Dr. Mahathir mentadbir Malaysia selama 22 tahun campur dengan 22 bulan sebagai Perdana Menteri.

Untuk rekod, di era beliau, kedudukan ekonomi negara stabil, menolak sebarang gangguan daripada mana-mana penyangak mata wang dengan mengikat ringgit agar sistem kewangan Malaysia tidak jatuh paling corot sebagaimana hari ini.

Jadi, amat bertepatan sama ada Pas mahupun pimpinan PN melantiknya sebagai penasihat SG4 dan tidak rugi sekiranya memberi peluang kepada Tun Dr. Mahathir bertanding di PRK Kemaman atas tiket PN. – malaydaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp