TERKINI

Nahas Elmina : Peluang Kenal Pasti Punca Nahas Tipis Jika Gagal Ekstrak Data CVR

Nahas di Elmina – Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2023 – Peluang untuk mengetahui punca nahas dengan tepat, pesawat yang terhempas di Persiaran Elmina, Khamis lalu sekiranya data perakam suara kokpit (CVR) mengalami kerosakan teruk.

Menurut bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, sekiranya fasa mengeluarkan data daripada CVR itu gagal dibuat walaupun telah dihantar ke kilang pengeluar di Florida, Amerika Syarikat (AS), maka perkara yang boleh dilakukan hanyalah andaian.

“Sekiranya CVR berjaya diekstrak, maka kita dapat memperoleh maklumat bermula pesawat berlepas dari Langkawi sehingga nahas berlaku.

“Untuk mengetahui punca tepat, ia memang memerlukan CVR. Jika tidak, hanya andaian dibuat berdasarkan maklumat kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sebelum ini, CVR bagi pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) berkenaan, dilaporkan gagal diekstrak pihak makmal di Singapura.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia akan dihantar ke kilang pengeluar di Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat.

Nik Ahmad Huzlan menjelaskan, CVR mempunyai beberapa jenis mengikut tahap kecanggihan sesebuah pesawat.

“CVR ada beberapa jenis dan pesawat yang terhempas ini dikategorikan kapal terbang kecil.

“Dari segi perundangan, tahap kecanggihan CVR pada pesawat mungkin kurang,” ujarnya. – Sinar Harian

Sementara itu, pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, sekiranya CVR gagal untuk diesktrak, masih ada cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui punca nahas iaitu melalui penelitian secara mikro dan makro terhadap bahagian penting pesawat.

Katanya, ia termasuk kaedah seperti X-ray dan metalurgi untuk mencari tanda-tanda seperti kelemahan serta kegagalan mana-mana bahagian. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp