TERKINI

Perang Russia-Ukraine: Barat takkan bangunkan Ukraine selepas perang, kata Mahathir

Mahathir Mohamad (kiri), Vladimir Putin (kanan) – foto The Malaysian Reserve

PUTRAJAYA, 24 Mei 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pakatan Barat tidak akan membelanjakan wang untuk membina semula Ukraine selepas perang berakhir.

Dalam satu entri, Mahathir berkata Ukraine tidak boleh berharap untuk dibina semula oleh pakatan barat selepas perang kerana Ukraine digunakan oleh pakatan Barat untuk menentang Russia.

“Ukraine adalah negara yang diserang oleh Russia. Dan seperti yang kita lihat hanya Ukraine yang rosak akibat perang, hanya tentera dan orang awam Ukraine yang terbunuh, hanya rakyat Ukraine yang terpaksa berhijrah ke negara lain.

“Pakatan barat bebas daripada peperangan atau serangan Russia. Tetapi mereka sibuk membekalkan Ukraine dengan senjata dan dana supaya Ukraine boleh terus berjuang dan menderita dengan serangan Rusia. Peperangan akan melemahkan Rusia sebaliknya NATO akan menjadi lebih kuat.

“Ukraine yang malang. Ia sedang dimusnahkan supaya pakatan barat akan menjadi ancaman yang lebih kuat terhadap Russia. Ujarnya.

Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa peperangan adalah cara primitif untuk menyelesaikan konflik antara negara dan menggesa dunia mengiktiraf perang sebagai jenayah.

“Perang adalah tentang membunuh orang. Dalam perang hari ini, bukan sahaja tentera akan dibunuh tetapi orang awam juga akan dibunuh. Dan seluruh negara akan hancur.

“Sudah tiba masanya dunia menjenayahkan peperangan. Tegasnya.

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNHRC), pada pertengahan Januari lalu, mengesahkan kematian 10,382 orang awam di Ukraine dan 19,659 lagi cedera sejak pencerobohan, namun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Polis Ukraine merekodkan hampir 10,000 kematian orang awam, manakala 7,000 hilang dan 11,000 cedera di wilayah yang dikuasainya, menurut seorang pegawai pada 31 Januari lalu.

Pada Feb 2022, Presiden Russia, Vladimir Putin, telah mengumumkan ‘operasi tentera’ ke atas Ukraine dan mengarahkan tentera negara itu meletakkan senjata serta menyerah.

Konflik tersebut tercetus apabila Rusia membantah tindakan barat menjemput Ukraine menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Jika Ukraine menyertai NATO, Russia akan mempunyai potensi musuh di sempadannya. Rusia membantah.

Menurut Mahathir, Barat memprovokasi Russia dan jika usaha itu berjaya, Russia boleh diserang oleh NATO.

“Rusia diprovokasi dengan kemungkinan Ukraine menyertai NATO. Jika ia berlaku maka Rusia akan mempunyai NATO di sempadannya. Rusia boleh diserang oleh NATO dan bukan hanya oleh Ukraine. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp