TERKINI

Nahas Elmina : Semua Mangsa Terkorban Termasuk EXCO Pahang

Nahas Elmina – Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2023 – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53, disahkan terkorban dalam nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan perumahan Elmina, petang tadi.

Nahas menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Ketua Umno Bahagian Bentong itu dikongsi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin melalui laman media sosial Facebook miliknya, petang khamis.

“Berita yang menyedihkan, Johari Harun, exco kerajaan Pahang, Ketua Umno Bentong dan Adun Pelangai telah kembali ke rahmatullah.

“Terlibat dalam pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” tulisnya.

Pesawat milik Jet Valet Sdn itu difahamkan berlepas dari Langkawi dan dilaporkan diberi kebenaran mendarat oleh menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Pada 2.47 petang.

Pesawat jenis Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N28JV itu bagaimanapun dilaporkan terhempas sebelum mendarat.

Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga mengesahkan pesawat itu tidak membuat panggilan kecemasan atau “mayday”.

Pesawat itu juga dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal, masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 individu maut dengan lapan daripadanya merupakan penumpang dan kru pesawat dalam nahas tersebut.

Dua daripada mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp