TERKINI

Semua bangsa dan agama patut bantah Israel – Tun M

Mahathir Mohamad – foto Facebook TDM

PUTRAJAYA, 5 Dis 2023 – Apa yang sedang berlaku di Palestin bukanlah peperangan antara dua negara, sebaliknya ia adalah pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas rakyat Palestin, demikian menurut bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ada pihak yang beranggapan serangan Israel ke atas Gaza hanya berkisar tentang umat Islam, sebaliknya ia tidak sepatutnya dipandang begitu.

“Ia bukan juga perang antara Israel dan Palestin. Ia adalah kes penindasan jenayah terhadap rakyat yang berkuasa terhadap rakyat yang lemah. Ia sebenarnya jenayah antarabangsa.

Menurut Mahathir, dalam masyarakat manusia yang bertamadun, undang-undang tidak membezakan antara bangsa atau agama.

“Undang-undang terpakai kepada semua orang secara sama rata. Oleh itu, jika anda membunuh seseorang, anda telah melakukan jenayah sama ada anda daripada mana-mana bangsa atau agama.

“Apa yang kita lihat di Palestin bukanlah peperangan antara dua negara. Apa yang kita lihat adalah percubaan Israel untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.

“Genosid adalah jenayah. Sekiranya pembunuhan beramai-ramai ini dibuat oleh orang Palestin terhadap Israel, ia tetap menjadi satu jenayah. Ujarnya.

Mahathir juga menggesa semua pihak tanpa mengira agama, patut membantah perbuatan biadab tersebut

“Jadi kita semua patut membantah perkara ini. Sama ada kita beragama Islam atau Kristian atau seagama dengan Yahudi kita patut membantah perbuatan biadab yang sedang dilakukan sekarang di Gaza dan Tebing Barat.

“Saya berharap rakyat Malaysia dari apa jua asal usul, sama ada mereka Islam atau bukan Islam, Kristian atau Buddha atau Hindu jangan menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang berlaku hanya kepada orang Islam.

“Ini berlaku kepada sesama manusia. Ingatlah berjuta-juta umat Islam mati untuk mengalahkan Jerman dan menamatkan penindasan Yahudi, ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp