PUTRAJAYA, 2 Nov 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar sikap negara yang menyebelahi Israel kerana mereka adalah kumpulan yang menyokong pembunuhan beramai-ramai di Palestin.
Dalam media sosial X miliknya, bekas perdana menteri berkata, negara penyokong Israel jelas menunjukkan dasar berat sebelah dengan membiarkan rakyat Palestin dibunuh.
“Inilah dunia tempat kita hidup. Pembunuh disokong. Mangsa mereka layak untuk mati.
“Itulah ukuran dasar kemanusiaan Amerika. Itu juga merupakan ukuran dasar kemanusiaan negara-negara yang menyokong pembunuhan oleh Israel,” kata Mahathir.
Katanya, sejak bermulanya krisis terbaharu di Palestin sejak hampir sebulan lalu, lebih 8,000 nyawa sudah terkorban namun Israel masih lagi meneruskan serangan demi serangan terhadap Palestin.
“Bilakah Israel akan menganggap perang telah dimenangi? Apabila mereka telah membunuh kesemua 1.6 juta rakyat Palestin?,” katanya.
Malah Mahathir berkata walaupun majoriti negara mendesak keganasan di kawasan itu dengan hentikan Amerika Syarikat yang merupakan sekutu Israel bertindak sebaliknya dan menggalakkan pembunuhan diteruskan.
“Apakah yang dunia lakukan terhadap niat Israel ini? 120 negara dalam PBB berkata hentikan pembunuhan.
“Tetapi Amerika berkata teruskan membunuh,” kata Mahathir lagi. – malayadaily.com