TERKINI

Negeri Sembilan dan Kelantan Akan Namakan Calon MB, Sanusi Angkat Sumpah Jawatan Hari Ini

PRN 2023 – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2023 – Calon menteri besar Negeri Sembilan masih menjadi tanda tanya dikalangan rakyat apabila terdapat dua calon yang disebut-sebut akan dipilih.

Menurut laporan Sinar Harian, selain Datuk Seri Aminuddin Harun, antara nama yang disebut ialah Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang.

Ketika ditanya pada program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah baru-baru ini, Jalaluddin berpendapat, kesemua 18 calon lelaki daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ditandingi gabungan itu layak untuk menjadi calon Menteri Besar.

Kenyataan Ahli Parlimen Jelebu itu seperti memberi ‘hint’ yang beliau berharap calon Menteri Besar dilantik dari parti itu dan ia berasas memandangkan kerusi dimenangi UMNO lebih banyak iaitu 14 berbanding PKR lima dan Amanah dua.

Kalau berdasarkan keputusan PRN Negeri Sembilan, hanya lima calon daripada PH yang layak menjawat jawatan itu kerana tiga daripadanya ialah calon wanita.

Namun demikian, nama calon menteri besar hanya akan diketahui hari ini.

Di Kelantan, calon Menteri Besar Kelantan akan mengangkat sumpah di Istana Balai Besar di sini pada jam 3 petang Selasa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yakob ketika ditemui selepas mesyuarat menetapkan siapa calon Menteri Besar Kelantan di sini pada Ahad.

Ahmad berkata, pihaknya sudah memuktamadkan nama yang akan dipersembahkan kepada pihak Istana Kelantan bagi mendapat perkenan Sultan Muhammad V pada Isnin.

“Siapa MB Kelantan, biar Tuanku tentukan. Satu, dua, atau tiga calon itu tidak penting.

“Tunggulah, Insya-ALLAH. Senarai nama telah dipersetujui oleh Presiden,” ujarnya.

Dalam perkembangan di Kedah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dijadualkan akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi.

Menurut Sanusi, pada waktu sama juga beliau perlu memilih barisan Exco dari 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah bagi membantunya untuk mentadbir negeri Kedah selepas ini.

Walau bagaimanapun, di Selangor setakat ini belum ada kenyataan rasmi berhubung acara mengangkat sumpah jawatan menteri besar.

Dari laporan Bernama, Sultan Selangor kini berada di London sejak 28 Julai lepas bagi menjalani rawatan serta pembedahan Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) dan dijangka berangkat pulang ke tanah air pada 15 Ogos ini.

Istana Negara menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa bertanya khabar dan berinteraksi bersama Sultan Selangor dalam kunjungan itu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp