TERKINI

Nga Kor Ming Didakwa Salah Tafsir Laporan Athi Nahappan Demi Agenda Politik

11 Feb – Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berhubung Laporan Suruhanjaya Diraja Athi Nahappan disifatkan sebagai tafsiran sejarah yang tidak tepat dan bersifat reduktif, sekali gus didakwa digunakan untuk menghalalkan agenda politik menghidupkan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Penganalisis dasar, Dr Armin Baniaz Pahamin berkata, dakwaan bahawa laporan berkenaan hanya mengesyorkan penangguhan sementara pilihan raya PBT akibat Konfrontasi Indonesia–Malaysia memberi gambaran seolah-olah negara gagal memahami laporan tersebut selama lebih lima dekad.

Menurut beliau, hakikatnya keputusan menghentikan pilihan raya PBT adalah keputusan struktur negara selepas penilaian menyeluruh melibatkan implikasi perlembagaan, sosial dan tadbir urus dalam konteks masyarakat majmuk.

Beliau menegaskan Laporan Athi Nahappan bukan sekadar dokumen keselamatan sementara, sebaliknya satu penilaian serius yang menggariskan risiko politisasi pentadbiran tempatan, ketidakseimbangan demografi bandar, ketegangan kaum serta kelemahan kapasiti institusi, yang menurutnya masih relevan sehingga hari ini.

Walaupun laporan itu mengakui pilihan raya kerajaan tempatan diingini secara prinsip, sokongan tersebut bersifat bersyarat dan disertai amaran jelas, bukannya mandat mutlak untuk pelaksanaan semula.

Menurut Dr Armin, keputusan untuk tidak mengembalikan pilihan raya PBT selepas tamat Konfrontasi pada 1966, serta pemuktamadan sistem pelantikan melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976, membuktikan pendirian negara dibuat berasaskan kepentingan perlembagaan dan kestabilan nasional, bukan kecuaian sejarah seperti yang cuba digambarkan.

Beliau turut mengkritik perbandingan dengan bandar-bandar asing seperti Bangkok, Jakarta, London dan New York yang sering digunakan bagi menyokong cadangan tersebut, dengan menyifatkannya sebagai retorik populis yang tidak relevan secara perlembagaan.

Tegasnya, Malaysia mempunyai kerangka perlembagaan, kontrak sosial dan sejarah konflik kaum yang memerlukan pendekatan tadbir urus berbeza berbanding negara unitari lain.

Dalam masa sama, Dr Armin mendakwa usaha melabelkan cadangan itu sebagai “kajian kebolehlaksanaan akademik” melalui penglibatan institusi pengajian tinggi tidak mengubah hakikat bahawa pilihan raya PBT dan pemilihan Datuk Bandar merupakan agenda ideologi lama DAP yang kini cuba dilaksanakan melalui kuasa eksekutif.

Menurutnya, kajian akademik tidak wajar dijadikan alat untuk menghalalkan projek politik yang membawa implikasi besar terhadap struktur kuasa negara dan kedudukan Melayu bandar.

Sehubungan itu, beliau berpandangan menghidupkan semula pilihan raya Datuk Bandar dan PBT pada masa ini bercanggah secara langsung dengan semangat serta amaran yang terkandung dalam Laporan Athi Nahappan, selain berisiko mencetuskan polarisasi kaum dan mempolitikkan pentadbiran akar umbi dalam keadaan polarisasi bandar yang semakin ketara.

Sebagai alternatif, Dr Armin mencadangkan Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada pengukuhan mekanisme pelantikan Datuk Bandar yang profesional, telus dan berasaskan merit, termasuk penetapan kriteria kelayakan yang ketat, kontrak prestasi, penilaian berkala oleh jawatankuasa bebas serta mekanisme akauntabiliti yang jelas.

Pendekatan itu, menurutnya, lebih praktikal dan selari dengan realiti perlembagaan negara berbanding memperkenalkan eksperimen politik yang berisiko tinggi terhadap kestabilan dan keharmonian sosial. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp