TERKINI

Pelancong Perubatan Indonesia Ke Malaysia Dijangka Meningkat – Duta Besar

Gambar hiasan – foto Bernama

BANDUNG, 2 Jun 2023 – Kedatangan rakyat Indonesia ke Malaysia termasuk bagi tujuan pelancongan perubatan dijangka terus meningkat semasa rantau ini terus pulih daripada pandemik COVID-19.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata seramai 1.5 juta rakyat Indonesia berkunjung ke Malaysia pada tahun lalu dengan 300,000 pelancong datang untuk tujuan perubatan.

“Dalam kerjasama kesihatan, Malaysia dan Indonesia telah melakukan pelbagai kerjasama seperti projek penyelidikan dan pembangunan dalam perubatan tradisional penyakit berjangkit serta teknologi perubatan.

“Lain-lain termasuk program latihan dan pendidikan serta kerjasama kawalan dan pencegahan penyakit,” katanya di perasmian Malaysia Healthcare Expo (MH Expo) di sini, semalam.

Malaysia menjadi destinasi pilihan alternatif bagi rakyat Indonesia untuk mendapatkan penjagaan kesihatan sejak 10 tahun lalu, dengan lebih 60 peratus daripada pelancongan perubatan ke Malaysia datang dari Indonesia.

Selain Indonesia, Malaysia juga menjadi tumpuan pelancong perubatan dari China, Australia, Singapura, United Kingdom untuk rawatan kesuburan, kardiologi, ortopedik, oftalmologi, onkologi, neurologi, pergigian dan pemeriksaan kesihatan.

“Ini mencerminkan kepercayaan pelancongan perubatan antarabangsa terhadap kualiti sistem penjagaan kesihatan di Malaysia sebagai alternatif bagi melengkapi rawatan yang diterima di negara asal,” kata Syed Md Hasrin. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp