TERKINI

Kerajaan Rangka Kaedah Baharu Pelaksanaan Gaji Minimum – Menteri

PUTRAJAYA, 1 Mei 2023 – Kaedah baharu bagi pelaksanaan gaji minimum akan dirangka bagi memastikan kebajikan setiap pekerja di negara ini terbela, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Beliau yang menyifatkan gaji minimum sebanyak RM1,500 agak rendah berkata majikan perlu memastikan gaji yang diterima pekerja setimpal dengan kemahiran dan pengetahuan mereka.

“Dalam mesyuarat Kabinet nanti, kita cari kaedah baharu untuk tetapkan gaji pekerja dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja 2023 bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sambutan itu berkata isu pelaksanaan gaji minimum akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan untuk mendapatkan penyelesaian “sekali dan untuk semua”.

Perintah gaji minimum dengan kadar minimum RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei tahun lepas untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ditangguhkan dari 1 Jan lepas kepada 1 Julai depan. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp