TERKINI

NGO dakwa kerajaan Pulau Pinang abai penarik beca

Sarah Abdullah – foto malayadaily.com

GEORGETOWN, 13 Julai 2023 – Penarik beca di Pulau Pinang mendakwa tidak mendapat penghargaan sewajarnya daripada kerajaan negeri, walaupun mereka terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan di negeri itu, kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Urban Live Volunteers (ULV).

Setiausaha Eksekutif ULV Sarah Abdullah, 66, berkata, kerajaan negeri juga tidak melayan permintaan penarik beca yang mahu mengadakan kolaborasi bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Kami dah minta untuk berkolaborasi dengan kerajaan negeri, kami dapat tahu kerajaan negeri ada peruntukan untuk beca, tetapi melalui sektor pelancongan.

“Walaupu kami bukan persatuan beca, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami terlibat 100 peratus dengan penarik beca.

“Mereka tiada persatuan, jadi mereka tidak menerima manfaat seperti penarik beca di Melaka, kita nampak dari segi perhiasan mereka dan sebagainya,” katanya, keiada Malayadaily.

Tambahnya lagi, penarik beca di Pulau Pinang tidak menerima sebarang skim bantuan termasuklah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Malah, segelintir penarik beca juga katanya adalah gelandangan dan juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Nak bersuara pun mereka tiada wakil, beca nasib dia begitulah sampai ke tua. Tiada khairat kematian, tiada bantuan kalau sakit.

“Mereka (kerajaan) asyik beri bantuan, beri bantuan beras 5kg, mereka gelandangan, nak buat apa, mereka pergi jual, ada juga segelintir juga dari mereka penagih dadah.

“Kita kena buat sesuatu untuk mereka. Caruman Perkeso tidak ada, bila masuk hospital tiada siapa ambil tahu.

“Di Pulau Pinang tiada badan (khusus untuk beca) seperti di Melaka, di sana kerajaan negeri jaga mereka tetapi di sini kerajaan negeri kalau boleh mahu mereka tiada persatuan.

“Di Penang tiada penghargaan untuk orang beca,” tambahnya lagi.

Sarah berkata, pihaknya mengharapkan satu badan khas penarik beca di Pulau Pinang dapat ditubuhkan bagi mengawal selia pengusahanya.

Langkah itu katanya dijangka dapat mengatasi isu negatif yang menyelubungi penarik beca di negeri Pulau Mutiara itu.

“Mereka perlu buat badan khas untuk beca. Jaga kebajikan beca, bagi caruman Perkeso, dan pastikan bilangan beca dikuatkuasakan, diberi permit dan nombor pendaftaran.

“Ada laporan penipuan dan sebagainya tapi tak boleh ambil tindakan, kami tahu apa yang berlaku, masalah sekarang tiada kawalan, siapa keluar penjara pusat rawatan boleh dapat beca, bila berlaku apa-apa mereka lari sebab apa, pemilik beca sewakan beca jadi mereka tidak ambi peduli,” tambah Sarah, lagi.

ULV merupakan NGO yang bertanggungjawab menyediakan bantuan makanan harian kepada penarik beca di negeri itu yang kebanyakannya berusia sekitar 65 tahun ke atas.

Mereka bergerak atas sumbangan orang ramai bagi memastikan kebajikan penarik beca terus dijaga.

Facebook
Twitter
WhatsApp