TERKINI

Orang Asli Mahu Kerajaan Johor Duduk Semeja Bincang Cadangan Tanah Kesultanan – JPOAJ

Orang Asli Johor – foto berita harian

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2023 – Kerajaan negeri Johor digesa supaya mengadakan perbincangan bersama masyarakat Orang Asli berhubung cadangan untuk mengisytiharkan tanah adat Orang Asli sebagai Tanah Kesultanan seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini.

Dolah Tekoi, Pengerusi Jaringan Pertubuhan Orang Asli Johor (JPOAJ) menyatakan kekecewaannya kerana tidak diberi peluang untuk menyuarakan pandangan berhubung cadangan itu.

“Mengapa bila terkena kepada tanah Orang Asli maka kami dipaksa untuk ierima tanpa ada hak lagi untuk memberi pandangan dan cadangan?

“Malah kerajaan langsung tidak mahu berbincang atau berunding dengan kami,” kata Dolah menerusi satu kenyataan.

Sultan Ibrahim sebelum ini menitahkan cadangan supaya tanah adat Orang Asli diisytiharkan sebagai Tanah Kesultanan bagi melindungi kawasan tersebut daripada diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan kegiatan haram.

Namun, tegas Dolah, sekiranya terdapat bukti berlaku pencerobohan, tindakan seharusnya diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Jika benar ada bukti berlaku pencerobohan berleluasa, maka kerajaan harus mengambil tindakan terhadap pihak ini sahaja tetapi bukan ke atas seluruh tanah Orang Asli.

“Jika ingin menghalang pencerobohan hutan maka kerajaan haruslah mengiktiraf tanah adat Orang Asli yang dikawal oleh kami secara sah mengikut peta komuniti yang munasabah yang kami sediakan kerana keluasan rizab Orang Asli yang diberi sekarang sangat kecil dan tidak memadai,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dolah menyeru kepada pihak berkuasa supaya duduk semeja bagi membincangkan isu itu bersama masyarakat Orang Asli.

“Tidak salah jika kerajaan memanggil kami yang faham untuk duduk berbincang dan berunding bagi mendengar penjelasan dan cadangan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Bukan hanya memberitahu Orang Asli yang tidak faham atau mengugut semua Tok Batin bahawa mereka akan dilucutkan jawatan jika ada yang membantah. Ini bukan tindakan yang berani, tetapi lebih kepada memaksa kerana ada agenda tersembunyi,” tegasnya.

Pada minggu lalu, lebih 200 Orang Asli berkumpul di hadapan pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar untuk membuat bantahan secara aman serta menyerahkan memorandum untuk membantah cadangan mengubah status tanah rizab mereka di negeri itu kepada Tanah Kesultanan. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp