TERKINI

Palestin : Ratusan mayat dikuburkan di hospital

Ratusan mayat di hospital Gaza – foto Newswav

GAZA, 15 Nov 2023 – Pengarah hospital terbesar di Genting Gaza pada Selasa memaklumkan kira-kira 179 pesakit yang meninggal dunia terpaksa dikebumikan di dalam ‘kubur besar’ di kompleks tersebut yang kini kehabisan bekalan bahan api.

Situasi menyayat hati di Hospital al-Shifa itu diumumkan Mohammad Abu Salmiyah sambil menambah jumlah yang disemadikan dalam satu liang lahad itu termasuk tujuh bayi dan 29 pesakit di unit rawatan rapi (ICU).

“Terdapat mayat bergelimpangan di sekitar hospital dan bekalan elektrik di rumah mayat juga sudah terputus,” ujarnya.

Wartawan yang berada di lokasi itu turut mengesahkan bau busuk mayat mereput menyelubungi seluruh hospital berkenaan walaupun kempen pengeboman sejak malam Isnin dilaporkan ‘tidak seganas’ pada akhir minggu lalu.

“Kami tiada bekalan elektrik, tiada sumber air dan makanan. Keadaan semakin teruk dan tidak berperikemanusiaan,” kata seorang doktor yang enggan identitinya didedahkan. – Sinar Harian/AFP

Facebook
Twitter
WhatsApp