TERKINI

Syarikat Turkiye Hampir Pasti Bina Kapal LMS TLDM

Kapal korvet Tentera Laut Turkiye daripada kelas-Ada – Foto DSA

KUALA LUMPUR, 12 Sept 2023 – Syarikat Turkiye, STM dilaporkan hampir pasti diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk membina kapal Litoral Mission Ship (LMS) untuk kegunaan TLDM, lapor akhbar.

Akhbar pertahanan Defence Security Asia (DSA) melaporkan dengan memetik sumber, cadangan perolehan kapal LMS Batch 2 itu secara kerajaan dengan kerajaan (G to G) masih berjalan walaupun terdapat spekulasi perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 itu akan dilakukan secara tender antarabangsa sebelum ini.

Sumber berkata, perolehan kapal tersebut merupakan di antara elemen utama Memorandum Persefahaman (MoU) Pertahanan yang bakal dimeterai oleh kerajaan Malaysia dan Turkiye.

Spekulasi perolehan kapal LMS Batch 2 mungkin dilakukan secara tender terbuka antarabangsa muncul pada LIMA di Langkawi, Mei lalu apabila beberapa syarikat pembuat kapal antarabangsa menawarkan kapal-kapal mereka untuk memenuhi keperluan kapal LMS Batch 2 TLDM.

TLDM mensasarkan akan menerima kapal LMS Batch 2 yang pertama pada tahun 2027, disusuli kapal LMS kedua dan LMS ketiga di antara enam hingga sembilan bulan selepas penerimaan kapal pertama.

Berbanding dengan empat buah kapal LMS Batch 1 yang jauh lebih kecil dan tidak memiliki keupayaan kombatan, kapal-kapal LMS Batch 2 bukan sahaja jauh lebih besar, tetapi juga dilengkapkan dengan keupayaan kombatan seperti sistem peluru berpandu kapal-ke-kapal dan juga peluru berpandu kapal-ke-udara.

Keempat-empat kapal LMS Batch 1 diperolehi daripada China dengan kos lebih RM1 bilion.

Syarikat STM daripada Turkiye itu dilapor mengetengahkan kapal korvet kelas-Ada bagi program pembinaan kapal-kapal LMS Batch 2 TLDM.

Kapal korvet kelas-Ada merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-Ada ini dijana oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot dengan kapasiti 93 krew kapal.

Panjang keseluruhan kapal adalah 99.56 meter, dengan kapal korvet kelas-Ada memiliki berat 2,400 tan. – Defence Security Asia

Facebook
Twitter
WhatsApp