TERKINI

Pangsapuri RM500,000 ke Atas di JB Tak Terjual, Warga Singapura Berminat – Exco

Gambar hiasan – foto booking.com

JOHOR BAHRU, 14 Jun 2023 – Sebanyak 11,512 unit pangsapuri perkhidmatan berharga RM500,000 ke atas sekitar bandar raya ini dan Iskandar Puteri tidak terjual, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Bagaimanapun, beliau berkata pemaju yang terlibat dengan kediaman tidak terjual itu sudah mula mendapat maklum balas positif daripada pembeli warga asing khususnya Singapura susulan harga rumah di republik tersebut dilaporkan sebagai paling mahal di Asia Pasifik tahun ini.

“Pembeli hartanah tempatan tidak perlu khuatir kerana dasar perumahan rakyat Johor telah menetapkan hanya hartanah bernilai RM1 juta ke atas ditawarkan kepada warga asing termasuk dari Singapura,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Undian Terbuka Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) Taman Kempas Utama di sini pada Selasa.

Mohd Jafni berkata dianggarkan 1,000 unit RTBJ akan dibina dalam tempoh lima tahun selepas projek rintis di Taman Kempas Utama mendapat sambutan luar biasa.

Menerusi program RTBJ, individu terpilih boleh menghuni kediaman itu dengan membayar RM650 sebulan dan RM460 akan ditolak sebagai bayaran sewa manakala RM190 dijadikan simpanan dan selepas lima tahun, simpanan terkumpul akan dijadikan deposit untuk membeli rumah baharu.

Pada 6 Mei lepas, Mohd Jafni berkata 80 peratus kediaman tidak terjual di negeri itu membabitkan pangsapuri perkhidmatan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp