PUTRAJAYA, 9 Jun 24 – Pakar Perubatan Dr. Dayang Anita Abdul Aziz berpendapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mengambil beberapa pendekatan yang lebih baik dan mengikut undang-undang jika mahu meneruskan program Parallel Pathway.
Ketika mengulas isu tersebut dalam bahagian kedua rakaman wawancara, Mantan Profesor Surgeri Pediatrik UKM ini berkata, KKM mempunyai beban kerja klinikal yang tinggi, justeru jika persatuan atau kolej yang menjalankan program Parallel Pathway itu, entiti tersebut bukan penyedia pendidikan tinggi.
“KKM sebenarnya, saya tahu beban kerja klinikal tu tinggi, jadi untuk kerja-kerja yang macam ni, kalau kita tengok KKM terpaksa bagi tugas-tugas ini kepada persatuan-persatuan, kolej-kolej profesional, mereka ni bukan higher education provider, tidak mengikut undang-undanglah.
“Jadi, kalau nak teruskan program Parallel Pathway ini, supaya nak menambah jumlah pakar, kena ikut akta yang telah ditetapkan supaya ada jaminan kualiti terhadap program-program yang dijalankan. Ujarnya.
Beliau juga berpendapat, KKM perlu ada kerjasama dengan institusi pengajian tinggi yang berdaftar kerana itu lebih baik dan KKM boleh meneliti kembali jika peserta program Parallel Pathway ini boleh diserapkan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTA) sedia ada, agar latihan kepakaran tersebut mendapat akreditasi.
“Ada beberapa cara, yang pertamanya memang KKM kena tengok balik program ni sama ada mereka boleh serap semua yang sedia ada tu, itulah cara dia, masuk dalam program tempatan melalui arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT) supaya IPTA ataupun IPTS menerima mereka ni, tengok disiplin mereka tu, ada tak program yang setara dalam program kepakaran tempatan.
Dr. Dayang Anita turut menegaskan bahawa apa-apa kelayakan, tidak akan diiktiraf jika tidak melalui proses jaminan kualiti akreditasi sepertimana amalan di semua negara.
“Kalau kita tak buat sesuatu yang betul, kesemua mereka ni tak boleh masuk, kelayakan mereka tidak akan diiktiraf sebab program tu tak lalu proses jaminan kualiti akreditasi, kelayakan mereka tak diiktiraf, tak dapat masuk NSR (Daftar Pakar Kebangsaan).
“Imagine mereka ni dah tahun tiga ke, dah nak habis, kalau mereka dapat kelayakan luar negara, tapi kelayakan tu tidak diiktiraf kerana programnya tidak melalui proses jaminan kualiti akreditasi, kan dah membazir.
“Kalau katakan mereka memilih untuk pergi ke luar negara, Australia ke ataupun UK ke, yang mana Australia sendiri, Australia Medical Council sendiri mengatakan, mereka yang lulus ni perlu ada lagi (proses), sama macam kardiotorasik tu, di UK, perlu ada lagi sedikit portfolio yang perlu dilakukan di Australia, sebelum mereka ni jadi pakar. Jelas Dr Dayang.
Isu berkaitan Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotorasik. – malayadaily.com