TERKINI

Parallel Pathways : Rakyat Prihatin hantar memorandum kepada Menteri Kesihatan

Kumpulan Rakyat Prihatin bertemu menteri kesihatan – foto Rakyat Prihatin

PUTRAJAYA, 11 Julai 24 – Satu kumpulan profesional yang menggelar diri sebagai Rakyat Prihatin telah bertemu dan menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad berkaitan itu cadangan kementerian untuk meminda Akta 50.

Dalam satu kenyataan media, semalam, kumpulan Rakyat Prihatin telah mencadangkan beberapa inisiatif kepada kementerian, antaranya semua prgram Parallel Pathways (PP) yang membawa kelayakan antarabangsa mesti mengikut proses undang-undang negara yang iaitu Akta MQA 2007 (Akta 679), Akta 50, Akta Perubatan (Pindaan) 2012, Akta 555 dan AUKU (Akta 30) dan Peraturan-Peraturan Perubatan 2017.

“Semua kelayakan pakar yang diambil secara pentadbiran (Senarai khas 2017) oleh Majlis Perubatan Malaysia adalah tidak sah mengikut Akta 50, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) dan perlu diberhentikan.

“Semua kelayakan kepakaran perubatan sama ada daripada dalam atau luar negara mesti melalui proses Akreditasi MQA supaya boleh didaftarkan dalam MQR sebelum ianya diiktirafkan oleh badan profesional iaitu MMC sebagai ‘recognized specialist qualification’. Ini selaras dengan Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012). Katanya.

Kumpulan Rakyat Prihatin juga mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi KPT, Gabungan Universiti, KKM dan Akademi Perubatan perlu bekerjasama untuk mengembangkan program kepakaran Perubatan tempatan dan membangunkan program baru jika perlu.

“KPT tidak boleh membenarkan sebarang program pendidikan dan latihan kepakaran diasingkan dari Akta MQA. Ujarnya.

Kumpulan ini juga berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk meminda Akta 50.

“KKM perlu mematuhi semua undang-undang Negara untuk membolehkan kelayakan program didaftarkan dalam MQR dan pakar pelatih dalam PPP dan mereka yang telah lulus dapat didaftarkan dalam NSR. Tegas mereka.

Sebelum ini, timbul kontroversi berkaitan program Parallel Patways dimana beberapa pihak bertentangan pandangan mengenai keabsahan program tersebut untuk pegawai perubatan melanjutkan pengajian ke peringkat pakar.

Pertikaian itu muncul berikutan kenyataan kerajaan yang mereka sedang mempertimbangkan cadangan meminda Akta Perubatan 1971 untuk membuka peluang tersebut.

Isu berkaitan Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotorasik.

Sebelum itu, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) telah menolak permohonan empat pakar bedah kardiotorasik untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.

Kumpulan Rakyat Prihatin seramai 10 orang yang terdiri daripada, Dato’ Freida Pilus, Ketua JK Pendidikan NCWO, Dr. Dayang Anita Abdul Aziz, Ketua JK Kesihatan NCWO, Profesor Dr. Raja Amin Raja Mokhtar, Presiden Society of Thoracic Surgeons Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Zainuddin Wazir, Majlis Perundingan Melayu, Profesor Dato’ Dr. Tahir Azhar, Kumpulan Profesor G70, Profesor Dr. Noor Hashim Ismail, Kumpulan Profesor G70, Dr. Zarida Hambali, Mantan Pengarah Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Akademik, JPT, KPT, Datuk Dr. Abdul Razzak Mohd. Said, Mantan Ahli MEC, MMC, Profesor Dato’ Dr. Yang Faridah Abdul Aziz, Dekan Fakulti Perubatan UM dan Prof. Dr. Mohd Zamrin Dimon, Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp