
KUALA LUMPUR, 17 Dis — PAS mempertikai pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya dalam rombakan kabinet terbaru, mendakwa keputusan itu menimbulkan isu etnik dan pemusatan kuasa dalam portfolio strategik yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan — wilayah yang dianggap sebagai jantung pentadbiran negara.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya memandang serius susunan baharu yang menyaksikan Hannah Yeoh (DAP) dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Su Fui (GRS) sebagai timbalannya, selain pengekalan jawatan perumahan dan kerajaan tempatan di tangan seorang lagi pemimpin DAP.
“Pemilihan ini dilihat tidak berlandaskan merit tetapi susulan tekanan politik … termasuk spekulasi bahawa ia berkait dengan ancaman parti tertentu untuk keluar daripada kerajaan jika tuntutan tertentu tidak dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berpendapat susunan ini berpotensi menimbulkan ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau, selain memberi gambaran bahawa keputusan dibuat berdasarkan tawar-menawar politik, bukan merit atau keperluan asas dasar.
PAS juga menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi pelantikan ini terhadap dasar perbandaran, penggunaan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan, yang menurutnya boleh dimonopoli tanpa proses semak imbang yang berkesan.
Tambahannya, kehadiran inisiatif seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (Akta URA) turut dianggap berisiko meminggirkan kelompok penduduk tertentu, terutama orang Melayu dan golongan berpendapatan rendah. – malayadaily.com