TERKINI

PBB : Gaza jadi bumi tak boleh didiami

bandar Gaza hancur – foto Agensi Anadolu

GAZA CITY, 7 Jan 2024 – Israel berterusan mengebom bumi Gaza pada Sabtu ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa wilayah Palestin telah menjadi ‘tidak berpenghuni’ selepas konflik Hamas-Israel memasuki tempoh tiga bulan.

Wartawan AFP melaporkan serangan Israel pada awal Sabtu ke atas bandar Rafah di selatan Gaza, dengan ratusan ribu penduduk mencari tempat perlindungan.

Serangan itu menyebabkan penduduk Palestin semakin menderita tatkala PBB memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan, kebuluran dan penyakit.

Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths berkata, Gaza menjadi wilayah yang tidak boleh didiami lagi.

“Kami terus menuntut agar perang ditamatkan dengan segera, bukan sahaja bagi penduduk Gaza dan penduduk jirannya yang diancam, tetapi juga untuk generasi akan datang yang tidak akan melupakan 90 hari dalam derita itu serta serangan terhadap prinsip paling asas kemanusiaan.

“Perang ini tidak seharusnya dimulakan. Namun, masanya ia berakhir,” katanya.

Agensi kanak-kanak PBB memberi amaran bahawa pertempuran telah menyebabkan 1.1 juta kanak-kanak diancam kebuluran dan kekurangan zat.

Dalam pada itu, tentera Israel menyatakan bahawa pasukannya menyerang lebih 100 sasaran di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu termasuk kedudukan tentera, tapak pelancaran roket dan gudang senjata.

Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas berkata, pihaknya merekodkan 162 kematian dalam tempoh sama.

Afrika Selatan memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang genosid dilancarkan Israel ke atas Genting Gaza walaupun permohonan itu dikritik keras rejim Tel Aviv – Sinar Harian/AFP

Facebook
Twitter
WhatsApp