TERKINI

Peguam Gesa Batalkan Secara Muktamad Tuntutan Kumpulan Kesultanan Sulu

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2023 – Peguam terkenal, Haniff Khatri menggesa kerajaan membatalkan secara muktamad awad akhir yang salah berkaitan tuntutan yang dibuat pihak yang menggelar diri mereka sebagai wakil kesultanan Sulu terhadap aset-aset Malaysia di luar negara.

Hanif Khatri berkata, setakat ini apa yang berlaku adalah kerajaan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, hanyalah pembatalan awad asal bidang kuasa.

“Sehingga kita batalkan ‘awards’ muktamad 2022 itu selagi itu akan terdedah kepada permohonan pelaksanaan oleh pihak yang menggelar diri mereka wakil Sulu di satu dunia di mana Malaysia mempunyai aset.

“Seperti baru-baru ini kita menang di Belanda pada 27 Jun. Itu permohonan pelaksanaan, kita mesti muktamadkan penghakiman akhir yang salah itu melalui pembatalan di mahkamah rayuan Paris, Perancis,” kata Hanif.

Beliau sehubungan itu menggesa pihak kerajaan termasuk Azalina menjelaskan bilakah pendengaran rayuan dan keputusan Malaysia terhadap awad muktamad Stampa bertarikh 28 Feb 2022, yang mengnugerahkan jumlah USD15 bilion kepada mereka.

“Itu tak dimaklumkan hingga sekarang ini oleh kerajaan dan menteri,” katanya.

Azalina dalam sidang media baru-baru ini berkata, pihaknya mengakui bahawa perjuangan Malaysia belum berakhir di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan di Belanda yang pada Selasa, 26 Jun lalu menolak permohonan mereka yang mendakwa sebagai pewaris bekas kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara AS$15 bilion yang mereka menangi terhadap kerajaan Malaysia.

Azalina sehubungan itu berkata kerajaan akan melakukan gerakan agresif bagi ‘mematikan’ tuntutan berkenaan.

Beliau juga mendakwa pembiaya dana dari Amerika Syarikat (AS) dipercayai dalang dalam kes tuntutan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

Perkara itu katanya diperolehi berdasarkan jumlah pelayar di laman sesawang ‘Malaysia-Sulu Case’.

Haniff juga berkata, beliau turut menyokong usaha dilakukan kerajaan itu.

“Kita wajar galakkan kerajaan teruskan dengan tindakan berhubung siasatan itu.

“Namun, apa yang amat penting adalah untuk noktahkan tuntutan Sulu berhubung aset negara di luar, kerana yang kita menang pada 6 Jun ialah untuk membatalkan awad asal bidang kuasa bertarikh 25 Mei 2020,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp