TERKINI

Peguam Kanan persoal kenyataan Anwar berhubung sekolah vernakular

Haniff Khatri (kiri), Anwar Ibrahim (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 2 Jun 24 – Peguam kanan, Haniff Khatri mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan sekolah vernakular yang beliau sifatkan sebagai bercanggah dengan titah Yang Dipertuan Agong (YDPA), sebelum ini.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik dilaman facebook, baru-baru ini, Haniff menegaskan bahawa kenyataan Anwar agar semua pihak menghormati kewujudan sekolah vernakular sebagai bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk menyatupadukan rakyat menerusi bahasa kebangsaan.

“Bagaimanakah kita nak adakan perpaduan sekiranya skop silibus sekolah vernekular Cina dan Tamil berasingan dalam bentuk pengajaran, terutamanya bahasa pengantar?

“Bagaimanakah anak-anak kita di zaman sekarang tahun 2024 dan kemudian nanti boleh fasih dalam Bahasa Melayu jika ada anak-anak kita yang tidak diajar dalam bahasa Melayu di sekolah vernakular Cina dan Tamil, soal Haniff.

Menurutnya lagi, tidak timbul soal menghormati kewujudan sekolah vernakular kerana ia sememangnya wujud sebelum merdeka lagi.

“Kita rakyat Malaysia tidak menafikan bahawa sekolah vernakular telah pun wujud untuk satu tempoh yang lama sebelum daripada merdeka pun sudah ada.

“Kita juga tak menafikan cabaran terhadap kesahihan sekolah vernakular telah dibawa ke mahkamah dan pada 20 Februari 2024 yang lalu, mahkamah Persekutuan telah enggan untuk memberikan kebenaran supaya perkara itu dapat dibawa rayuan ke tahap mahkamah tertinggi mahkamah Persekutuan.

“Justeru keputusan mahkamah mengatakan bahawa sekolah vernakular adalah dipelihara di bawah perlembagaandi bawah perkara 152. Ujarnya.

Haniff juga mempersoalkan kenyataan Anwar yang dianggap bercanggah dengan hasrat YDPA yang bertitah pada 26 Feb 2024 lalu yang mana baginda telah mengingatkan akan hal yang amat penting berkaitan teras, pancang dan jati diri warganegara ini iaitu keupayaan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai bahasa negara sekali gus bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia.

“Adakah kerajaan nak menidakkan titah itu sedangkan seminggu lebih debat ucapan baginda tuanku semua mengatakan menyokong titah Tuanku.

“Anwar Ibrahim kena jawab, bukankah kenyataan beliau, suruh menghormati itu dan untuk menerima perkara yang telah lama diterima pakai menentang (dan) bercanggah dengan titah baginda tuanku kebawah Duli Yang diPertuan Agong bertarikh 26/2/2024 di perenggan 10 dan 11 titah ucapan pembukaan parlimen.

“Saya sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, yang menghormati Perlembagaan Persekutuan dan terutamanya kedaulatan undang-undang, tidak boleh menerima kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semata-mata kerana wujud perkara itu sejak sekian lama, maka kita masih terus mengikutinya dan menghormati kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil.

“Hormat satu hal, nak kena teruskan atau tidak itu persoalannya.

“Kalau kerajaan ini serius ikhlas dan jujur untuk rakyat bersatu padu menjadi rakyat Malaysia yang sama sama memperjuangkan kepentingan negara maka kerajaan yang perlu sedar peri penting dilentur buluh daripada rebung. Tegasnya.

Baru-baru ini, Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya menghormati kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil, sambil menegaskan negara ini telah lama mengamalkan sistem persekolahan berkenaan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp