TERKINI

Tun M cabar Ramasamy namakan negara mempunyai parti berasaskan kaum

Mahathir Mohamad – foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Jan 2024 – Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa rasis oleh P. Ramasamy mencabar bekas pemimpin DAP itu menamakan mana-mana negara di dunia ini mempunyai masyarakat berbilang kaum dan parti politik berasaskan kaum.

Beliau membuat cabaran itu selepas Ramasamy menuduh mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu rasis apabila mengaitkan kesetiaan masyarakat India terhadap negara dalam temubual eksklusifnya dengan sebuah stesen televisyen satelit India, Thanthi TV baru-baru ini.

Kata Tun Dr. Mahathir, banyak negara dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada mempunyai penduduk berbilang kaum.

“Bolehkah Ramasamy menamakan negara berbilang kaum berkenaan yang mempunyai parti politik berasaskan kaum?

“Adakah Indonesia, Thailand dan Filipina mempunyai parti politik berasaskan kaum? Sedangkan di negara itu mempunyai rakyat bukan orang asal,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan chedetofficial semalam.

Katanya, Ramasamy adalah seorang pemikir yang hebat sambil berkata dengan memetik, “it takes a bigger, more intensive racist to call another racist”.

“Jadi apabila dia menggelar saya rasis, pastinya kerana dia “rasis yang lebih besar, lebih intensif”,” katanya.

Tun Dr. Mahathir juga menempelak Ramasamy yang baharu sekarang menganggap DAP adalah parti berbilang kaum palsu selepas tidak lagi bersamanya dan menubuhkan parti baru.

“Sedangkan, dia lama dengan DAP, tetapi hanya apabila tidak dicalonkan semula sebagai calon DAP dan beliau keluar parti, beliau kini menganggap DAP sebagai parti berbilang kaum palsu.

Pada masa sama, Tun Dr. Mahathir mempersoalkan nama parti baharu yang ditubuhkan Ramasamy iaitu Bersatu untuk hak rakyat Malaysia atau “Urimai”.Soal beliau, mungkinkah “i” dihujung singkatan Urimai itu bermaksud “India” dan nama penuhnya ialah “Bersatu untuk Hak Orang India Malaysia”? – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp