TERKINI

Tanah Rezab Melayu Bertukar Hak Milik Di Sitiawan : Perak Bawa Untuk Perhatian PM

Saarani Mohamad – Foto Awani

IPOH, 25 Mei 2023 – Perak akan membawa isu pemilikan Tanah Rizab Melayu oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu sebagaimana berlaku di Sitiawan, kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan dengan para pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Selasa lalu berkenaan hal tersebut.

Menurutnya, hasil perbincangan itu, SSM memaklumkan tiada mana-mana peraturan di bawah Akta Syarikat Malaysia 2016 yang boleh menyekat atau menghalang mana-mana syarikat meminda perlembagaannya termasuk bagi tujuan penjualan saham syarikat, sama ada kepada Melayu atau bukan Melayu.

Malah katanya, SSM tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan pendaftaran syarikat meskipun berlaku perubahan pemilikan saham memandangkan ia dianggap sebagai urusan dalaman sesebuah syarikat.

Justeru Saarani berkata ia adalah ‘kelompongan’ serius yang mana Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri tidak mengetahui sebarang penjualan saham syarikat yang mengakibatkan status syarikat Melayu bertukar kepada syarikat bukan Melayu.

“Melihat kepada senario ini, saya bimbang jika tidak ditangani dengan tuntas, kelompongan ini bukan sahaja boleh mengakibatkan kekeliruan dan kecelaruan dalam sistem urus tadbir tanah, malah akan menjadi penghalang besar kepada usaha memartabatkan Tanah Rizab Melayu, bukan sahaja di Perak, tetapi juga di negeri-negeri lain.

“Oleh itu, susulan perbincangan dengan pihak SSM dan setelah mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri, saya akan membawa isu ini kepada pengetahuan Perdana Menteri untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

“Suatu usaha menyeluruh mesti digerakkan bagi memperkukuhkan ekosistem perundangan dan dasar yang berkaitan dengannya, sama ada di peringkat negeri mahu pun Persekutuan supaya isu seumpama ini dapat ditangani sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) dan Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Saarani (BN-Kota Tampan) berkata kerajaan negeri melalui PTG telah menubuhkan jawatankuasa khas dan mengambil beberapa langkah mitigasi sebagai usaha memperkasakan status Tanah Rizab Melayu di Perak.

Kata beliau, antaranya adalah melakukan sekatan dengan memasukan Kaveat Pendaftar bagi kesemua 3,214 hektar tanah termasuk di Sitiawan 2, bagi menghalang sebarang transaksi atau pindah milik kepada bukan Melayu.

Selain itu, Saarani berkata kerajaan negeri juga telah memutuskan sebarang penjualan lot-lot pembangunan di kawasan Sitiawan 2 selepas ini hendaklah 100 peratus kepada orang Melayu.

“Seterusnya, PTG menyediakan prosedur bagi mengetatkan syarat-syarat untuk sebarang pemberimilikan melalui Seksyen 7 Enakmen Rizab Melayu bagi tanah-tanah berstatus rizab Melayu.

“Hanya yang berkelayakan dan menepati syarat digariskan dalam Seksyen 2 Enakmen Rizab Melayu boleh dipertimbangkan membuat permohonan bagi tujuan tersebut.

“Pada masa sama, kerajaan negeri melalui PTG mengadakan rundingan dengan pemilik tanah termasuk pemaju supaya tanah-tanah yang dimiliki sama ada melibatkan kawasan di Sitiawan 2 atau di tempat lain diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.

“Hasilnya, setakat ini 183.3 hektar telah dikenal pasti oleh PTG untuk diwartakan sebagai kawasan rizab Melayu setelah mendapat persetujuan pemilik tanah yang membangunkan kawasan tersebut,” jelas Saarani lagi.

Menurut Menteri Besar, langkah-langkah yang diambil itu antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam melindungi kepentingan Tanah Rizab Melayu seperti yang terkandung dalam wasiat Raja-Raja Melayu. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp