TERKINI

Tun M tempelak RUU Penggal Tetap Parlimen untuk pertahankan kerajaan buruk ini

Mahathir Mohamad – foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Jan 2024 – Tun Dr. Mahathir menempelak pendapat pemimpin kerajaan perpaduan kononnya dengan adanya Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap Parlimen maka kerajaan akan menjadi stabil.

Mantan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak menafikan memang kestabilan baik untuk negara.

“Tetapi, apa akan jadi kepada negara apabila kerajaan dipimpin oleh seorang penjenayah yang secara terbuka mencuri duit kerajaan dan menyalahguna kuasa kerajaan dengan memasuk dalam tahanan anggota parti lawan?

“Apa akan jadi jika harta milik rakyat dirampas? Apa akan jadi apabila ekonomi rosak teruk sehingga rakyat mati kebuluran? Apa akan jadi jika polis dan tentera merompak?

“Apa pula akan jadi jika rasuah menjadi-jadi sehingga segala urusan dengan kerajaan mengambil masa yang panjang dan bergantung kepada sogokan yang diberi?,” soal beliau menerusi status terbaharunya chedetofficial.

Dr. Mahathir berkata, jika kerajaan yang seburuk ini berkuasa lima tahun, maka kerosakan yang akan berlaku tidak boleh dipulih dan negara akan hancur.

Katanya, mungkin dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerajaan jenis ini boleh dijatuhkan.

“Namun, dengan kuasa dan alat yang ada pada kerajaan, PRU boleh ditipu dan kerajaan buruk ini mendapat kemenangan. Maka akan berterusanlah salah guna kuasa oleh kerajaan.

“Sebaliknya, jika demokrasi berjalan dengan baik, parti kerajaan sendiri boleh menjatuhkan pemimpin penjenayah dan penipu. Sebagai pengganti seorang pemimpin yang lurus dan berpegang kepada undang-undang akan dipilih untuk menggantikan pemimpin yang bersifat perosak.

“Jika parti tidak jatuhkan pemimpinnya yang perasuah dan penyamun, wakil-wakil rakyat boleh hentikan sokongan kepadanya dan dia akan jatuh. Mungkin parti juga akan jatuh dan PRU diadakan untuk memilih kerajaan baru,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp