TERKINI

Peguam Negara perlu perbetulkan kenyataan, elak rakyat salahkan sistem kehakiman – Haniff Khatri

Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (kiri), Mohamed Haniff Khatri Abdulla (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 16 Jan 2024 – Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak boleh menjadikan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengikat dirinya dan pendakwa raya bagi menggelak diri daripada membuat keputusan terhadap kes jenayah yang dilakukan tertuduh.

Sebaliknya, beliau mempunyai dan boleh menggunakan budi bicara mutlak membuat keputusan di bawah perkara itu bagi mengelakkan masyarakat daripada terus menuding jari menyalahkan mahkamah dan sistem kehakiman.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, dalam satu-satu kes apabila hakim membuat keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) atau pelepasan sepenuhnya tertuduh terutama berprofil tinggi, orang ramai menyalahkan hakim.

Sedangkan, katanya, keputusan hakim itu dibuat selepas pihak pendakwa raya menarik balik kes berkenaan daripada diteruskan.

“Dalam kes begini, Peguam Negara hendaklah sentiasa berpegang kepada tanggungjawabnya memelihara keyakinan rakyat kepada sistem perundangan dan kehakiman negara.

“Caranya mengeluarkan kenyataan penuh serta lengkap apabila mana-mana keputusan berprofil tinggi dibuat untuk melepaskan atau menggugurkan pertuduhan.

“Ini supaya pihak hakim iaitu sistem kehakiman tidak dituding jari secara salah oleh masyarakat sepertimana dinyatakan dengan betul dan tepat oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya semalam.

Beliau menyatakan demikian mengulas kenyataan Ahmad Terrirudin dalam ucapannya pada Hari Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 semalam.

Dalam ucapan itu, Peguam Negara dilaporkan berkata, ketika melaksanakan kuasa ini di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, pendakwa raya tidak diwajibkan untuk memaklumkan kepada mana-mana pihak atas sebab di sebalik penarikan balik pertuduhan terhadap tertuduh.

Katanya lagi, Pejabat Pendakwa Raya mesti dibenarkan untuk menunaikan kewajipannya dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Kenyataannya itu disiarkan portal Malaysia Kini bertajuk, “Bukan tugas pendakwa beritahu alasan gugur tuduhan – Terrirudin”.

Bagaimanapun, wujud kemusykilan dengan kenyataan Tengku Maimum pada majlis itu yang dilaporkan berkata, badan kehakiman negara secara tidak adil telah dipersalahkan apabila pendakwa raya menarik balik sesuatu pertuduhan jenayah.

Kata beliau, apabila pihak pendakwaan menarik balik sesuatu pertuduhan, mahkamah jenayah hanya ada pilihan yang terhad iaitu membenarkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau memberi pembebasan penuh.

Tanpa menamakan sesiapa, beliau kemudian merujuk kes jenayah berprofil tinggi tahun lalu apabila hakim yang memberikan keputusan DNAA dianggap korup, tidak kompeten atau kedua-duanya oleh pihak tertentu.

Kenyataannya itu juga turut disiarkan portal Malaysia Kini bertajuk, “Badan kehakiman dipersalah atas keputusan pendakwa raya”.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, selepas meneliti kedua-dua ucapan itu, beliau dapati ada kemusykilan dalam ucapan Peguam Negara berhubung perkara itu.

“Memang tidak dinafikan Peguam Negara sebagai pendakwa raya mempunyai kuasa penuh di bawah Perkara 145(3) untuk memula dan meneruskan ataupun mahu memberhentikan pertuduhan terhadap mana-mana orang yang dituduh.

“Tetapi, apabila Peguam Negara mengatakan mereka tidak bertanggungjawab untuk memberikan alasan penarikan balik pertuduhan, itu menjadi isu besar terutama dalam kes berkepentingan umum seperti dinyatakan Ketua Hakim Negara iaitu badan kehakiman dipersalah atas keputusan pendakwa raya.

“Sememangnya apabila kes berprofil tinggi dilepaskan atau ditarik balik pertuduhan dan kemudiannya mahkamah perintahkan pelepasan, sama ada DNAA atau pembebasan bersama dengan pelepasan, rakyat yang tidak tahu selok belok perundangan akan menuding jari secara salah kepada mahkamah,” katanya.

Kata beliau, rakyat berprasangka seolah mahkamah yang membuat keputusan berkaitan pengguguran di atas pertuduhan tersebut.

Walhal, ujarnya, seperti kata Ketua Hakim Negara, pilihan yang ada di kalangan hakim apabila pendakwa raya menggugurkan pertuduhan adalah cuma untuk memberi satu daripada dua pilihan sama ada DNAA ataupun pembebasan mutlak.

“Oleh kerana rakyat tidak faham selok belok perundangan dan kehakiman dan untuk mengelakkan tuding jari yang salah kepada sistem kehakiman yang boleh menjatuhkan hormat masyarakat, adalah penting Peguam Negara mengeluarkan kenyataan kenapakah pengguguran kes dilakukan dalam kes yang melibatkan kepentingan awam.

“Supaya dengan kenyataan itu, rakyat akan dapat menilai, adakah keputusan pengguguran itu tanpa gundah ganjara atau dengan gundah ganjara dan perkara ini akan menjatuhkan atau meluputkan persepsi rakyat yang salah selama ini.

“Justeru, saya dengan penuh rendah diri mengatakan Peguam Negara wajar membetulkan kenyataan beliau semalam, walaupun beliau mempunyai budi bicara mutlak membuat keputusan di bawah Perkara 145(3),” katanya.

Beliau berkata, Peguam Negara hendaklah berpegang kepada tanggungjawab memelihara keyakinan rakyat kepada sistem perundangan dan kehakiman negara.

Kerana dengan cara memberi kenyataan penuh dan lengkap melibatkan keputusan kes berprofil tinggi, sistem kehakiman tidak dituding jari secara salah. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp