TERKINI

Peguam persoal bantahan SMJK, SMC laksana B.Melayu sebagai pengantar

Haniff Khatri – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 6 Jun 24 – Peguam Kanan, Haniff Khatri mempersoalkan tindakan Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang yang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Dalam satu rakaman video yang dibuat naik di laman facebook, Haniff berkata adakah bantahan ini bermakna ibu bapa-ibu bapa yang mendaftarkan anak di sekolah vernakular tidak pentingkan perpaduan negara.

“Bukankah perpaduan negara lebih penting daripada segala-galanya dan sekiranya Menteri pendidikan dan jabatan pelajaran (pendidikan) negeri telah mengambil inisiatif untuk menekankan permulaan penggunaan bahasa Melayu, maka bukankah itu untuk memupuk perpaduan kenapakah mereka nak berselindung kepada hasrat ibu bapa?

“Keduanya adakah ini bermakna ibu bapa-ibu bapa yang mendaftarkan anak di sekolah vernakular tidak pentingkan perpaduan negara lebih pentingkan ekonomi keluarga mereka, masyarakat mereka yang kononnya tertinggal sekiranya diberi tekanan kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar?

Dalam ulasan yang sama, Haniff turut mengingatkan bahawa kebawah Duli Yang di Pertuan Agong (YDPA)sebelum ini telah memberi pesan kepada kerajaan untuk membuat dasar baru untuk memupukkan perpaduan rakyat.

“Ini amat penting kerana seperti yang dititahkan oleh kebawah Duli yang di Pertuan Agong dalam titah pembukaan parlimen pada 26/2/2024 secara khusus di mana baginda tuanku telah memberi pesan kepada kerajaan untuk membuat dasar baru, memupukkan perpaduan rakyat di atas kekhuatiran baginda bahawa hormat dan kehidupan perpaduan yang harmoni telah terkikis di masyarakat.

“Baginda memetik peribahasa “kalau nak melentur buluh biar dari rebung” dan memberi pesan agar dasar itu hendaklah dimulakan dari tahap kanak-kanak, maksudnya betul dan tepat.

Beliau menambah, jika mahu memupuk perpaduan ia mestilah daripada zaman kanak-kanak iaitu dari sekolah rendah.

“Maka sudah tiba masanya untuk Kementerian pendidikan dan kerajaan untuk menekankan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pengajaran mana-mana mata pelajaran yang perlu di sekolah vernakular. Ulasan tersebut boleh ditonton di sini.

Terdahulu, media melaporkan Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Memetik laporan Harian Metro, sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Mereka juga menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains serta Matematik. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp