TERKINI

Peguam sambut baik penubuhan JK kaji kompetensi DUN gubal undang-undang syariah

Mohamed Haniff Khatri Abdulla – foto Suara Merdeka

KUALA LUMPUR, 6 Dis 2023 – Peguam, Haniff Khatri menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman bahawa kerajaan telah membentuk jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang syariah.

Menurut Haniff, setelah muncul beberapa pertikaian di mahkamah khususnya kes IKI PUTRA (2021) dan NIK ELIN (2022-yang masih menanti pengumuman keputusan oleh Mahkamah Persekutuan), yang menzahirkan persoalan keperlembagaan berhubung kuasa gubalan undang-undang jenayah Syariah oleh Dewan Undangan Negeri (DUN), maka isu ini wajar diteliti dan dikaji serta dicadangkan apa-apa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang perlu untuk tujuan mengharmonisasikan kuasa Persekutuan dan Negeri berkenaan.

“Justeru penubuhan secara rasmi akan jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang syariah yang diuumkan oleh Kerajaan Persekutuan, adalah satu langkah sihat ke arah penyelesaian menyeluruh isu bidangkuasa gubalan ini, serta amat dialu-alukan.

Haniff juga mengucapkan selamat maju jaya kepada kesemua Ahli Jawatankuasa yang dilantik dalam menggalas tanggungjawab dan amanah untuk menabur khidmat kesemua anda.

“Ianya juga amat diharapkan bahawa jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang syariah akan berbesar hati untuk menerima pandangan mahupun teguran daripada para pengamal perundangan, para akademik, para sejarahwan dan terutamanya para agamawan yang sudi menghulurkan pandangan masing-masing untuk menjayakan usaha kesemua jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang syariah berkaitan. Ujarnya.

Baru-baru ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang syariah.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini merupakan salah satu usaha dan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan Negeri demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Bernama melaporkan, Mohd Na’im dalam sidang media kemudiannya berkata, Jawatankuasa Khas itu akan mengadakan libat urus dengan majlis agama Islam negeri-negeri bagi mendapatkan pandangan mereka. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp