TERKINI

Pejabat Peguam Negara Dituntut Jelaskan Kedudukan Pendakwaraya kes Ahmad Zahid

Haniff Khatri – foto malaysiapost

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2023 – Pejabat Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan kedudukan Ketua Pendakwaraya Raja Rozela Raja Toran, yang dalam kes membabitkan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam, Haniff Khatri berkata, tugas Raja Rozela ketika sebutan kes itu dipanggil pada 1 Ogos lalu digantikan dengan pendakwaraya lain berikutan ketidakhadirannya.

Katanya, dari sudut kedaulatan undang-undang dan prinsip perundangan, pendakwaraya boleh diubah dari masa ke semasa tapi atas alasan jelas dan munasabah seperti dinaikkan pangkat, berpindah jabatan, atau mengalami keuzuran.

“Sekiranya pendakwaraya dinaikkan pangkat atau dipindah ke unit lain memang pendakwaraya akan digantikan tetapi adakah Raja Rozela sudah naik pangkat atau dijadikan pesuruhjaya kehakiman?

“Kalau itu alasannya tidak ada persepsi negatif muncul daripada ketiadaannya.

“Keduanya, keuzuran atau kesakitan, seandainya ada masalah kesihatan, untuk tak memudaratkan perjalanan kes ia akan diambil alih seorang lagi pendakwaraya dalam pasukannya.

“Tetapi hingga hari ini tiada kenyataan daripada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk berikan penjelasan, sedangkan ia amat penting,” katanya.

Ini kerana kata Haniff, kes tersebut melibatkan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebelum beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

“Apakah atas permintaan eksekutif Raja Rozela digugurkan?,”kata Haniff.

Tegasnya lagi, itu adalah antara sebab mengapa individu mempunyai kes mahkamah tidak seharusnya dilantik menyertai Jemaah Menteri kerajaan.

Lebih-lebih lagi sewaktu perbicaraan ditahap pendakwaan sebelum ini, media melaporkan berlaku perbalahan mulut antara Ahmad Zahid dengan Raja Rozela.

“Semasa perbicaraan ditahap pendakwaan mahupun selepas pembelaan dipanggil sewaktu Zahid memberi keterangan ada perbalahan mulut antara Zahid dan Raja Rozela yang tegas menjalankan tugas.

“Adakah Zahid tak puas hati? ego terjejas? maka dia minta raja Rozela digugurkan? kalau itu sebabnya itu salah.

‘Sebab itu sejak dari awal (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tak patut lantik orang ada kes mahkamah ke dalam Jemaah Menteri kerana risiko persepsi seperti yang muncul hari ini.

“Oleh itu AGC kena jelaskan yang masih sunyi sepi walaupun selepas tujuh hati Raja Rozela tidak hadir,” katanya, lagi.

Antara persepsi yang wujud berikutan ketiadaan Raja Rozela sebagai pendakwaraya kata Haniff adalah kerana beliau tak berpuas hati melayan representasi sedangkan perjalanan kes sudah berada dihujung pembelaan.

“Adakah Raja Rozela tak puas hati perlu ada rujukan penilaian dan analisa dibuat dan representasi itu mesti dilayan?

“Inilah dia perkara AGC kena jawab. Saya tegaskan sebagai pengamal undang-undang Idrus Harun tidak boleh berdiam diri dan beri penjelasan munasabah.

“Adakah Raja Rozela digugurkan daripada kes Zahid, jika tak gugur kenapa beliau tak hadir sejak 1 Ogos hingga sekarang?,” tegas Haniff.

Menurutnya, ini kerana menimbulkan persepsi eksekutif sedang campur tangan dalam urusan mahkamah sedangkan mereka tidak sepatutnya berbuat demikian. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp