TERKINI

Iran lancar dron, peluru berpandu serang Israel

Serangan Iran ke atas Israel – foto Utusan

KUALA LUMPUR, 14 Apr 24 – Iran telah melancarkan berpuluh-puluh serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel pada Sabtu.

Dua sumber keselamatan di Iraq berkata, berpuluh-puluh dron telah dikesan terbang dari Iran ke arah Israel di atas ruang udara Iraq.

MalaysiaGazette melaporkan, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) negara itu mengesahkan perkara itu selepas Israel berkata Teheran telah memulakan serangan ke atasnya.

IRGC berkata, ia telah melepaskan dron dan peluru berpandu di bawah operasi “True Promise”, sambil menambah tindakan itu adalah sebahagian daripada hukuman untuk “jenayah Israel”.

Iran telah berikrar membalas dendam atas serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang membunuh tujuh pegawai Pengawal Revolusi termasuk dua komander kanan.

Pada Jumaat, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran kepada Iran supaya tidak menyerang Israel.

Tentera Israel berkata, siren akan berbunyi di mana-mana kawasan yang terancam dan pertahanannya bersedia untuk menanganinya.

Israel dan negara jiran Jordan, yang terletak di antara Iraq dan Israel, berkata, mereka menutup ruang udara mereka pada malam Sabtu.

Perang Gaza antara Israel dan Hamas telah mencetuskan ketegangan di rantau itu. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp