TERKINI

Pejuang bantah pengurangan hukuman Najib

Mukhriz Mahathir (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 13 Dis 24 – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mengambil pendirian menolak sepenuhnya pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari 12 kepada enam tahun, denda daripada 210 juta kepada hanya RM50 juta dan juga tahanan rumah.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir berkata, ia kerana tiada sekelumit kenyataan kesal dikeluarkan Najib di atas kesalahan jenayah dan penganiayaan terhadap rakyat yang dilakukannya sehingga ke hari ini.

Tambah beliau, Najib sebaliknya masih mendakwa dirinya mangsa politik dan penipuan oleh pihak lain meskipun tiada bukti kukuh dikemukakan.

“Kami juga menolak apa-apa usaha untuk membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah. Ini tak boleh dianggap sebagai hukuman kerana tidak setimpal dengan kesalahan besar yang Najib lakukan.

“Pejuang sama sekali menolak usaha untuk mengampuni Najib setelah didapati bersalah melalui proses perbicaraan mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Baru-baru ini, media melaporkan anak sulung Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar memfailkan afidavit pada 5 Disember lalu sebelum perbicaraan Mahkamah Rayuan.

Dalam afidavit tersebut, Mohamad Nizar mendakwa Sultan Pahang memaklumkan tentang titah tambahan yang mencadangkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.

Dalam kenyataan yang sama, Mukhriz berpandangan, isu pengkhianatan terhadap sebarang titah Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya timbul.

Jelas beliau, sebaliknya keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara iaitu ‘The Rule of Law’ yang patut dipertahankan dan tidak dikhianati.

“Mana mungkin usaha untuk memerangi gejala rasuah boleh berjaya jika pesalah maha kaya seperti Najib boleh diberi layanan istimewa, walhal rakyat marhaen diambil tindakan tegas,” ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp