26 Jan – Pejuang Johor menegaskan kerajaan negeri perlu segera mewujudkan laluan terstruktur bagi graduan yang kini terperangkap dalam sektor ekonomi gig untuk beralih ke kerjaya formal bergaji premium dengan perlindungan sosial penuh.
Timbalan Ketua Negeri Pejuang Johor, Zainuddin Adan, berkata walaupun lebih dua juta graduan bekerja di bawah tahap kelayakan akademik mereka dan 25–30% tenaga kerja negara kini bergantung kepada ekonomi gig, banyak peluang pekerjaan sedia ada tidak menjamin pendapatan stabil atau mencerminkan tahap kemakmuran sebenar.
Beliau mencadangkan skim sokongan pendapatan sementara antara RM1,000 hingga RM1,500 sepanjang tempoh latihan tiga hingga enam bulan, diikuti jaminan penempatan kerja formal dengan gaji sekurang-kurangnya RM3,500, serta insentif untuk majikan yang menyerap graduan.
Selain itu, latihan modular dan fleksibel dalam bidang seperti teknologi maklumat, pentadbiran digital, agro-teknologi dan penyelenggaraan kenderaan elektrik disarankan, termasuk pelaksanaan model hibrid transisi di mana graduan boleh mengekalkan kerja gig sambil beralih secara berperingkat ke sektor formal.
Zainuddin menegaskan bahawa bantuan tunai one-off tidak mencukupi, dan reformasi sebenar diperlukan untuk memastikan graduan serta pekerja gig dapat membina kerjaya yang stabil dan bergaji premium, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat Johor dan Malaysia secara keseluruhan. – malayadaily