TERKINI

Pejuang Johor gesa kawalan harga di Bazar Ramadan 2026

25 Feb – Pejuang Negeri Johor menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan harga makanan di beberapa lokasi Bazar Ramadan tahun ini yang didakwa semakin membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan keluarga besar.

Ketua Penerangannya, Suraya Binti Sulaiman berkata, Ramadan seharusnya menjadi bulan kesederhanaan dan kebersamaan, namun situasi harga jualan makanan ketika ini mencerminkan tekanan kos sara hidup serta inflasi yang masih dirasai pengguna.

Menurut beliau, walaupun terdapat faktor luaran seperti kenaikan kos bahan mentah dan pengangkutan, keadaan semasa termasuk pengukuhan nilai ringgit dan kawalan subsidi bahan api sepatutnya membantu menstabilkan harga barangan makanan, termasuk yang diimport.

“Sudah sampai masanya kerajaan menggandakan usaha mengawal harga barang keperluan makanan supaya peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati dan rakyat dapat menikmati juadah berbuka dengan kadar yang wajar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pejuang Johor turut menggesa pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan supaya memperketat pemantauan harga sepanjang Ramadan. Mereka mencadangkan agar garis panduan harga diperkenalkan bagi memastikan makanan dijual setimpal dengan kualiti dan kuantiti.

Dalam masa sama, peniaga diingatkan supaya mengamalkan etika perniagaan yang bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan terhadap keperluan pengguna. Ramadan, tegasnya, bukan ruang untuk menekan pembeli, sebaliknya peluang memperkukuh nilai sosial dan semangat kebersamaan.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk pelaksanaan kempen kesedaran harga munasabah, penetapan harga siling bagi makanan utama, pemantauan bersama komuniti serta penyediaan mekanisme aduan rakyat yang lebih berkesan.

Pejuang Johor menegaskan bahawa kerjasama semua pihak penting bagi memastikan Bazar Ramadan kekal sebagai medan ekonomi yang adil, sekali gus memelihara kesejahteraan rakyat dan semangat sebenar Ramadan. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp