TERKINI

Pemilihan BERSATU selesai, Radzi & Ronald kekal jawatan

3 orang Naib Presiden, Radzi Jidin (kiri), Ronald Kiandee (tengah), Ahmad Faizal Azumu (kanan) – foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 5 Nov 24 – Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempertahankan jawatan mereka sebagai Naib Presiden Bersatu bagi penggal 2024-2027. Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula juga menang dan mengisi satu lagi slot untuk jawatan yang sama.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, semalam.

“Radzi mendapat sebanyak 11,690 undi manakala Kiandee mendapat 11,295 undi dan Ahmad Faizal pula dengan 9,278 undi,” katanya.

Abdul Azim juga mengumumkan 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah dipilih daripada 80 calon yang bertanding.

Antara yang dipilih sebagai ahli MPT Bersatu adalah Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Datuk Rosol Wahid, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal dan Dr Afif Bahardin.

Sebelum itu, Abdul Azim mengisytiharkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipilih sebagai Presiden Bersatu manakala Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden dengan kedua-duanya menang tanpa bertanding.

Abdul Azim turut memaklumkan bahawa sebanyak 169 bahagian berjaya bersidang serta menjalankan pemilihan dan pengundian peringkat MPT dengan 74 bahagian telah menjalankan pemilihan manakala baki 95 bahagian lagi mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan.

Pada masa yang sama, beliau berkata JPP telah menerima sebanyak 31 aduan dan bantahan dalam tempoh yang dibenarkan sepanjang persidangan bahagian berlangsung.

Abdul Azim berkata aduan dan bantahan yang diterima antara lain melibatkan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, keabsahan perwakilan, prosedur pengeluaran kertas undi dan prosedur pengiraan undi. -malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp