PUTRAJAYA, 20 Dis 2023 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan pemilik tanah agar tidak menjual aset tersebut sebaliknya menyewakan sebagai modal pelaburan apabila pembangunan dibuat oleh penyewa.
“Jika kita tunggu dan tidak jual sekarang, kita akan dapat harga yang lebih tinggi jika kita jual pada masa jauh ke depan. Sebab itu jika kita jual sekarang kita dapat kurang dari jualan di masa hadapan.
“Oleh kerana nilai lebih tinggi jika kita jual di masa hadapan, sewa juga akan lebih tinggi di masa hadapan. Jika kita jual sekarang kita tidak akan dapat kenaikan sewa di masa hadapan.
“Sebab itu adalah lebih baik jika kita sewakan daripada menjual,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman X, pada Selasa.
Beliau menjelaskan, harga tanah yang dibangunkan dengan bercucuk tanam atau mendirikan bangunan akan melonjak naik dengan lebih cepat.
Katanya, mengambil contoh tanah dalam bandar boleh naik sehingga RM7,000 bagi satu kaki persegi manakala tanah yang belum dibangun bernilai hanya RM5 bagi satu kaki persegi.
“Lihat berapa tinggi kenaikan harga tanah apabila dibangun dalam bandar yang membesar. Oleh itu jangan jual tanah.
Beliau turut mengingatkan bahawa harga tanah akan meningkat sepanjang masa dan akan bernilai lebih tinggi pada masa hadapan.
“Bagi sewa atau jadikan nilai tanah sebagai modal pelaburan apabila pembangunan dibuat oleh penyewa.
“Fikir. Kalau nilai tanah RM5 per kaki persegi dijadikan modal pelaburan sebanyak 10 peratus, apabila nilai naik RM1,000 per kaki persegi, nilai pelaburan 10 peratus jadi RM100 per kaki persegi,” katanya.
Tambah beliau lagi, pemilik yang menjual tanah akan kembali bermasalah setelah wang sudah habis dibelanja.
“Bila tanah dijual, duit yang diperolehi akan dibelanja untuk sara hidup, termasuk menambah ibadat yang sunat. Akhirnya semua duit akan dibelanja.
“Penjual akan kembali bermasalah kerana tidak ada duit. Tidak ada tanah lagi untuk dijual. Akan papa kedanalah penjual,” katanya. – malayadaily.com