KUALA LUMPUR, 5 Feb 2024 – Seorang pemimpin DAP tampil membidas keputusan larangan atau cubaan menyekat pemimpin dan akar umbi daripada mengulas dan mengkritik keputusan pengurangan hukuman ke atas bekas presiden Umno, Najib Razak.
Memetik laporan malaysiakini, bekas ahli parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata, kepimpinan DAP tidak seharusnya membisu mengenai pendirian mereka.
Sebaliknya, menurutnya, pemimpin DAP harus mengulangi pendirian mereka mengenai skandal 1MDB, kes rasuah terbesar dalam sejarah Malaysia, yang menjadi modal kempen parti itu pada pilihan raya umum 2018 dan 2022.
“Ini mesti termasuk mengambil pendirian tegas bahawa kes 1MDB yang sedang berlangsung terhadap Najib harus diteruskan dan tidak mengalami nasib yang sama seperti 72 kes ‘pelepasan tanpa pembebasan (DNAA)’ terhadap Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi,” katanya dalam satu kenyataan.
Ong juga berkata, kepimpinan DAP mesti membuat pendirian tegas berhubung siasatan polis ke atas pemimpin DAP Tony Pua di bawah Akta Hasutan berhubung kritikannya terhadap keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman bekas perdana menteri itu.
Dia berharap PH tidak melupakan jasa bekas setiausaha publisiti DAP itu yang mendedahkan skandal 1MDB.
Katanya, disebabkan skandal berkenaan rakyat Malaysia masih menanggung hutang berbilion ringgit.
“Kami masih ingat apa yang @tonypua lakukan, mendedahkan besarnya skandal 1MDB semasa beliau menjadi ahli parlimen.
“Rakyat Malaysia masih membayar berbilion RM atas hutang yang ditanggung akibat skandal ini. Saya harap pimpinan @pakatanharapan_ jangan lupa,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggerakkan jenteranya supaya membuat laporan polis terhadap Pua kerana mendakwa mempersenda keputusan Lembaga Pengampunan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pula meminta pemimpin dan akar umbi PH supaya bertenang berhubung pengurangan hukuman terhadap Najib.
Begitu juga dengan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang menggesa supaya tidak mempertikai ketetapan yang telah dibuat Lembaga Pengampunan.
Selain Pua, bekas ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin (Amanah); ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim (PKR); ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (DAP) adalah antara pemimpin PH yang mempersoalkan pengampunan Najib. – malaysiakini