TERKINI

Tun M tak beretorik seperti Anwar – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan (gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 16 Jan 2024 – Jati diri dan kekuatan yang ada pada Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah bercakap benar walaupun tidak dipersetujui mana-mana pihak.

Dengan berlatarbelakangkan seorang doktor, mantan Perdana Menteri itu akan terus berjuang dan bercakap demi kebaikan masa depan bangsa serta negara tanpa ada sebarang noktah penamat.

Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ketika mengulas kritikan Anwar kepada Mahathir dalam isu kesetiaan kaum India, beliau berkata, Mahathir berbeza dengan jati diri Perdana Menteri ke-10 yang hidup dengan menipu dan berbohong.

“Menipu dan berbohong cukup sinonim serta sebati dengan jiwa Anwar, sedangkan sifat ini tidak ada pada Tun Dr. Mahathir.

“Umpamanya ungkapan Melayu malas seperti dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir, hakikat dan permasalahan inilah yang membelenggu atau menyekat anak bangsa kita untuk maju sekian lama.

“Tun M tidak beretorik seperti Anwar, malah Tun M mengkaji serta bercakap mengenai dilema orang Melayu dan terus mencari formula penyelesaiannya,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Khairuddin berkata, sebab itu ketika Tun M menjadi Perdana Menteri kali pertama semua orang dapat melihat peningkatan kemajuan anak bangsa Melayu dan ramai berjaya dalam bidang akademik, perniagaan, ekonomi dan pelbagai lagi.

Ini kerana, penerapan nilai Islam secara berkesan berlaku di zaman pentadbirannya dengan nilai bersih, cekap, amanah disuntik dalam jati diri orang Melayu.

“Ketika itu, kita lihat bangsa Melayu dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan semua bangsa yang maju di dunia apabila Tun M memperkasakannya bukan setakat di tanah air, malah mencakupi ummah sejagat.

“Siapa tidak kenal Tun M yang merupakan jurucakap negara Islam di seluruh dunia sehingga negara OIC menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dan dunia ikhtiraf sebagai ‘The Asian Tiger’.

“Apakah Anwar boleh memadam fakta sejarah ini? Atau masih ghairah menempelak Tun M berkaitan isu masyarakat India yang tidak setia kepada tanah air?,” soal beliau.

Mengenai isu itu, Khairuddin berkata, apa yang dimaksudkan oleh Tun M ialah bangsa berkenaan yang tidak mahu menerima bahasa serta adat resam Melayu, tetapi masih berkiblatkan kepada negara asal nenek moyang mereka.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan pemimpin DAP, P Ramasamy, pemimpin MIC dan Anwra, sama ada mereka boleh menafikan bahawa setelah berpuluh tahun dilahirkan di Malaysia masih ada orang Cina mahupun India tidak boleh bertutur bahasa Melayu?

“Ramai orang Cina dan India masih berjuang mempertahankan sistem persekolahan vernakular mengikut bahasa ibunda masing-masing, malah ada antaranya tidak mahu hantar anak-anak ke sekolah Melayu dan kerajaan.

“Kalangan seperti inilah yang dirisaukan Tun M sehingga beliau memberi peringatan ikhlas kepada golongan ini untuk bersikap lebih terbuka dengan menerima bahasa serta adat resam Melayu demi memupuk perpaduan nasional yang jitu di masa hadapan.

“Malangnya, kenyataan Tun M diputar belitkan pihak media dan kalangan tertentu untuk dijadikan modal bagi melakukan ‘character assassination’ terhadapnya,” katanya.

Beliau juga membangkitkan isu, kenapa pada 1999 apabila sokongan pengundi Melayu hilang kerana salah sangka dengan kes pemecatan Anwar tahun sebelumnya, tetapi pengundi Cina dan India telah memenangkan BN dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat?

Kenapa, katanya, bangsa asing menyokong kuat Tun M dahulu, melainkan disebabkan beliau adalah seorang tokoh negarawan yang amat adil pada semua bangsa dan tidak pernah menganiayai mana-mana kaum.

“Jadi, cukup- cukuplah dengan puak yang cuba untuk menafikan fakta sejarah yang masih cuba mencalarkan reputasi Tun M. Anwar dan pemimpin sekutunya boleh berbohong dan menipu, tetapi fakta sejarah silam tidak boleh menipu kita,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp