TERKINI

Pemimpin Melayu P.Pinang penting diri sendiri, jenama Melayu Penang Negatif – Prof Murad

Ahmad Murad Merican – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 17 Julai 24 – Profesor sejarah sosial dan intelektual, Professor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican menempelak pemimpin Melayu Pulau Pinang dan menyifatkan mereka sebagai mementingkan diri sendiri dan mengabaikan sejarah dan warisan budaya Melayu Pulau Pinang.

Dalam satu status di laman facebook, hari ini, Ahmad Murad berkata sejak sekian lama pemimpin Melayu Pulau Pinang amat apologetik tidak kena tempat.

“Pemimpin Melayu Pulau Pinang tidak ada strategi bersepadu dari segi sejarah, warisan dan budaya kerana mereka terlalu bertumpu kepada kepentingan politik dan ekonomi sendiri. Wajah dan jenama Melayu di Pulau Pinang negatif, kolot, miskin, tidak progresif, dhaif.

“Pemimpin Melayu amat apologetik tidak kena tempat. Ini bukan hari ini, tetapi sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Ujarnya.

Kenyataan tersebut berkaitan kontroversi klip video ‘teaser’ Festival George Town yang didakwa tidak memaparkan kebudayaan Melayu dan seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.

Video tersebut telah mengundang pelbagai kritikan, antaranya Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) yang meminta kerajaan Pulau Pinang melalui George Town World Heritage Incorporated bertindak dengan penuh tanggungjawab berhubung perkara itu.

Sementara itu, media melaporkan Ketua Umno Bahagian Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican menyifatkan video promosi bertemakan ‘Here and Now’ tersebut sebagai satu naratif tidak ‘inklusif’ dan tidak mempamerkan kepelbagaian sebenar warisan George Town.

Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Murad menambah bahawa ideologi arus perdana Pulau Pinang telah membungkamkan 50 peratus dari penduduknya dan disifatkan sebagai contoh penyingkiran etnik di Pulau Pinang.

“Ideologi arus perdana Pulau Pinang telah membungkamkan 50 peratus dari penduduknya, ethnografi itu merangkumi masyarakat dan budaya Melayu Islam yang telah memperibumikan keturunan mereka di tempat iu.

“Ini satu contoh penyingkiran etnik dan memori pemastautin asal dan awal sejak Pulau Pinang wujud. Ini bukan cerita sebelum atau selepas 1786.

Menurutnya lagi, perkara seperti ini merupakan suatu naratif kewatanan yang telah diceroboh oleh mentaliti pendatang.

“Tetapi mana suara-suara dari penyokong budaya pelbagai budaya yang sentiasa menyebut mantera tersebut, serta naratif perlu inklusif?

“Mana suara-suara yang ketagih kesamarataan? Hipokrasi begini tidak dapat dimaafkan.

“Ideologi ini juga mengambil kesempatan dari kedhaifan sejarah NGO dan pemimpin melayu pulau pinang yang tidak yakin dan tidak dengan tegas dan terbuka menuntut hak sejarah, warisan dan kewujudan mereka di Pulau Pinang. Ujarnya.

Semalam, George Town Festival 2024 (GTF 2024) memohon maaf dan menurunkan video promosi mereka selepas didakwa tidak menonjolkan budaya Melayu.

Menerusi kenyataan, jurucakap memaklumkan semua klip video ‘teaser’ berkaitan di semua saluran media sosial mahupun laman web telah dipadam bagi mengurangkan ‘salah faham’. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp