TERKINI

Pemuda PN Minta Perhimpunan Aman ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’, Dipermudahkan

Ahmad Fadhli Shaari – foto malaysiakini

KUALA LUMPUR, 13 Sept 2023 – Pemuda Perikatan Nasional meminta kerajaan mempermudahkan urusan menganjurkan perhimpunan aman berkait isu lepas tanpa dibebas (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi, antara lain.

Permintaan itu dibuat menerusi Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang juga ketua Pemuda PN, di Dewan Rakyat, yang bermesyuarat untuk Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12, semalam.

Beliau memberi jaminan perhimpunan itu akan berlangsung secara aman dan undang-undang akan dipatuhi, malah sedia menukar tempat berhimpun sekiranya diminta berbuat demikian.

“Sabtu ini anak-anak muda minta nak berhimpun jadi pihak kerajaan permudahkanlah. Tak ramai pun yang berhimpun… kalau datang 10,000 pun masih belum cukup untuk menggoncang kerajaan,” katanya.

Pemuda PN pada 10 Sept lepas dilapor akan mengadakan perhimpunan bersama beberapa NGO di ibu negara pada Sabtu ini, berkenaan isu semasa termasuk DNAA Zahid.

Semalam, polis mengingatkan pihak yang ingin mengadakan perhimpunan perlu mengikut lunas undang-undang antaranya mengemukakan permohonan lima hari sebelum tarikh perhimpunan, dan mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis di kawasan terlibat.

“Kami akan patuh kepada undang-undang tapi tolong permudahkan urusan kami,” kata Fadhli di Dewan Rakyat, dan meminta menteri berkenaan menjelaskan tentang makluman kepada polis. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp