KUALA LUMPUR, 28 Apr 24 – Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM) memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kenyataaan tidak bertanggungjawab Profesor Dr Bruce Gilley pada 24 April lalu.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, jabatan itu menegaskan pihaknya kesal dan memandang serius terhadap perkara itu.
“Dengan penuh kekesalan, Jabatan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, Kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan warga Universiti Malaya atas insiden ini.
“Jabatan amat memandang berat dan serius terhadap perkara ini dan akan menambah baik proses tapisan, perancangan dan penganjuran program bagi memastikan platform yang diberikan tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak pada masa akan datang,” kata kenyataan tersebut.
Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik turut memaklumkan akan mengambil pendekatan penambahbaikan di peringkat jabatan dengan segera.
UM menerima kecaman kerana dikatakan membenarkan Profesor Sains Politik, Bruce Gilley dari Amerika Syarikat (AS) menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.
Gilley turut dikatakan menuduh ahli politik Malaysia menggesa ‘Holocaust kedua’ atau pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Yahudi selain juga menyerang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada Khamis, UM tampil memohon maaf kepada semua pihak sambil melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan kontroversi dibuat Gilley, ketika tampil sebagai penceramah jemputan universiti itu. – Awani