PUTRAJAYA, 1 Mei 2023 – Kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad mengenai isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah pendapat peribadinya dan bukannya pendirian keseluruhan parti berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas mengadakan perbincangan dengan pimpinan tertinggi Amanah.
“Saya harap individu itu (Khalid) dapat membezakan pendapat peribadi dengan pendirian parti keseluruhan.
“Bagi saya, beliau harus belajar menghormati rakan-rakan parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan,” kata beliau ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di sini semalam.
Pada 27 April lepas, Khalid dilaporkan berkata Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Rentetan itu, Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Zawawi Othman dilaporkan berkata UMNO Kelantan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan Amanah di Kelantan sekiranya Khalid tidak menarik balik kenyataan itu yang menyinggung perasaan ahli UMNO keseluruhannya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub yang ditemui ketika menghadiri sambutan Aidilfitri itu berkata beliau mewakili parti Amanah memohon maaf terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Khalid itu.
“Kadang-kadang kita terlanjur dan tiada malunya untuk kita memohon maaf sekiranya ia melukakan. Elok kita selesaikan dan move forward untuk perpaduan negara dan juga rakyat,” katanya yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – Bernama