TERKINI

Politik : Antara kepentingan parti atau bangsa

Pada Pilihanraya Kecil (PRK) Pulai pada September 2023 lalu, kita masih diberitakan tentang jumlah peratusan Orang Melayu yang keluar mengundi adalah rendah. Keadaan ini telah berlarutan semenjak beberapa pilihanraya yang lalu, tidak kira samada Pilihanraya Umum atau pun Pilihanraya Kecil.

Keadaan ini disokong pula dengan situasi dimana terdapat sekumpulan orang Melayu yang menyatakan mereka telah bosan dengan politik dan tidak mahu terlibat dengan apa-apa berkaitan politik dan hasilnya ramai yang tidak keluar mengundi.

Situasi begini amatlah membimbangkan dan boleh merugikan bangsa Melayu untuk jangka masa panjang.

Politik antara definisinya ialah satu proses untuk menentukan kepimpinan sesebuah kerajaan.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Parlimen Berperlembagaan, proses untuk memilih pentadbiran negara ialah melalui Pilhanraya. Keputusan untuk siapa yang akan memimpin di tentukan dengan kiraan undi majoriti.

Beberapa pemimpin Melayu negara yang dipilih kebelakangan ini, ada yang terlibat dengan rasuah yang berskala besar, ada yang tidak cekap memimpin dan ada ramai yang berjanji lain melaksanakan yang sebaliknya. Inilah faktor-faktor yang menyumbang kepada punca orang Melayu mula bosan dengan politik.

Orang Melayu tidak boleh tidak melibatkan diri dengan politik, kita sekarang sedang berhadapan dengan keadaan di mana kuasa politik orang Melayu yang semangkin melucut. Kelangsungan bangsa Melayu dan agama Islam di Tanah Melayu ini perlu di beri perhatian.

Sekiranya orang Melayu berterusan bersikap dingin dengan politik, dan peratusan yang keluar mengundi setiap kali diadakan pilihanraya adalah rendah. Dibimbangi ianya akan menjadi realiti bahawa kuasa politik Orang Melayu akan terlucut dan jadilah kita penumpang di atas tanah air sendiri.

Apa yang perlu dilakukan ialah berterusan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat, iaitu keluar mengundi dan pilihlah pemimpin Melayu yang berintegriti dan jujur.

Sekiranya, pemimpin yang dipilih gagal melaksanakan tugas seperti sepatutnya, kita terus juga jalankan tanggungjawab dengan memilih pemimpin Melayu yang lain apabila tiba pilihanraya seterusnya.

Orang Melayu tidak perlu terlibat dengan politik parti, tetapi beri tumpuan kepada pemimpin yang membawa jiwa Melayu dan Islam.

Secara Kesimpulan, orang Melayu perlu teruskan melibatkan diri dengan politik samada secara langsung mahupun tidak langsung.

Antara politik Parti dan politik Melayu, tumpukan kepada politik Melayu.

Azman Mohd Hashim Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp