TERKINI

Penganalisis pertikai struktur rasmi SG4

Mesyuarat SG4 di Terengganu – foto Facebook TDM

KUALA LUMPUR, 5 Nov 2023 – Penubuhan struktur rasmi empat negeri ditadbir PAS atau dikenali “state-government 4” (SG4) boleh menjurus kepada situasi ‘tidak melambangkan semangat satu negara’, kata ahli ekonomi.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata negeri di bawah SG4 iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu sepatutnya mewujudkan satu kaedah komunikasi rasmi dengan Putrajaya bagi melancarkan urusan pelaburan.

Menurutnya, struktur SG4 mungkin boleh dibuat tetapi bukan secara formal dan hanya berfungsi menyelaras antara negeri terbabit.

“Maknanya bila nak tubuh secara rasmi itu dalam bentuk apa…kalau institusi sukarela mungkin tiada masalah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Khairuddin Abu Hassan baru-baru ini berhubung saranan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad supaya struktur rasmi SG4 ditubuhkan bagi memulakan agenda pelaburan secara pantas.

Mahathir adalah penasihat kepada SG4 yang membabitkan pentadbiran kerajaan Kedah, Perlis, Terengganu, dan Kelantan.

Barjoyai juga percaya Putrajaya akan membantu untuk melancarkan kemasukan pelaburan di negeri terbabit.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Mohd Yusof Kassim pula menjangkakan struktur rasmi SG4 terbabit tidak akan berfungsi dengan baik kerana banyak bidang kuasa di bawah kerajaan pusat.

“Saya jangka tidak dapat berfungsi dengan baik sebab banyak perkara bawah bidang kuasa kerajaan pusat kecuali tanah,” katanya. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp