SHAH ALAM, 15 Nov 2023 – Peguam, Wan Azliana Wan Adnan menyifatkan pengasingan kuasa mampu meletakkan SPRM sebagai entiti bebas tanpa dibayangi pengaruh individu tertentu.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi terus memelihara integriti dan ketelusan dalam tadbir urus negara.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bebas melaksanakan siasatan terhadap kes salah guna kuasa secara menyeluruh bagi mengelak campur tangan mana-mana pihak. Katanya.
Azliana yang juga Pengeresi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), berkata, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga perlu segera dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada dihukum atas kesalahan tertentu.
Menurutnya, usaha itu mampu membendung isu rasuah dan salah guna kuasa daripada terus berleluasa.
“SPRM diwujudkan untuk menyiasat dan mencegah sebarang bentuk perlakuan rasuah termasuk salahguna kuasa.
“Jika kerajaan masih tidak melakukan sebarang tindakan berkaitan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, kita khuatir ia akan memberi persepsi buruk terhadap pentadbiran kerajaan sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Dr Muhammad Mohan menegaskan, kerajaan perlu segera mengkaji pengasingan kuasa bagi memastikan tidak timbul konflik berkepentingan dalam kes berprofil tinggi.
Tegasnya, jika tiada tindakan drastik terhadap orang yang melakukan rasuah, amat sukar bagi negara melakukan perubahan positif dalam skor Indeks Persepsi Rasuah Global (CPI) dan kedudukan global. – Sinar Harian