TERKINI

Penglibatan Pakar Dalam Perolehan Pertahanan Langkah Bijak – RAFOC

Gambar hiasan – foto DSA

KUALA LUMPUR, 12 Sept 2023 – Penglibatan pakar berkaitan dalam perolehan bekalan senjata yang diperlukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan langkah bijak, menurut Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC).

Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim berkata, pendekatan menggunakan khidmat kepakaran boleh mengelakkan pembelian yang tidak perlu atau pembaziran hasil nasihat yang kurang tepat.

“Natijahnya akan menjimatkan wang pembayar cukai dan memastikan ATM dilengkapi dengan persenjataan yang berkesan untuk melaksanakan fungsi teras.

“Pendekatan ini harus mendapat keutamaan berdasarkan penilaian ancaman dan cabaran semasa serta disesuaikan melalui proses pemerkasaan perolehan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, perolehan bekalan senjata yang diperlukan ATM akan diitentukan pakar berkaitan sebagai usaha untuk mengelak daripada sebarang ketirisan.

Selain itu, Anwar berkata, kebanyakan urusan bagi perolehan aset akan dibuat menerusi pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) melibatkan negara masing-masing.

Mengulas mengenai pendekatan G2G, Abdul Aziz berkata, ia boleh mengurangkan risiko rasuah dan memperolehi perjanjian yang lebih baik secara skala ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, adalah penting untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perjanjian ini untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa ke atas dana awam.

“Selain itu, memastikan perjanjian G2G ini tidak membawa kepada kebergantungan berlebihan kepada pembekal asing tunggal dan mengelak risiko kepentingan keselamatan negara jangka panjang,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp